Denda RM500,000 jika jual lebih harga maksimum

Muhamad Zikril (dua dari kanan) memantau harga ayam selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 Peringkat Negeri Selangor di Giant Hypermarket Batu Caves di sini hari ini.
Muhamad Zikril (dua dari kanan) memantau harga ayam selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 Peringkat Negeri Selangor di Giant Hypermarket Batu Caves di sini hari ini.
A
A
A

BATU CAVES - Peniaga yang didapati menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh berdepan tindakan denda sehingga RM500,000.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, kementerian melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) 2019 berkuat kuasa Ahad lalu hingga 31 Disember ini.

Menurutnya, skim bagi menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan itu dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kementerian telah mengenal pasti 19 jenis barangan bagi pelaksanaan skim tersebut tahun ini berbanding 16 barangan sebelum ini.

“Pertambahan barangan melibatkan cili merah, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing) dan ubi kentang import (China),” katanya ketika Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 Peringkat Negeri Selangor di Giant Hypermarket Batu Caves di sini hari ini.

Beliau berkata, barangan lain dalam skim itu termasuk ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.

Muhamad Zikril (dua dari kanan) memantau barangan harga terkawal selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 Peringkat Negeri Selangor di Giant Hypermarket Batu Caves di sini hari ini.
Muhamad Zikril (dua dari kanan) memantau barangan harga terkawal selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 Peringkat Negeri Selangor di Giant Hypermarket Batu Caves di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penentuan harga barangan bagi negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga khusus bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

“Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi berlebihan, kementerian boleh bertindak di bawah akta melalui Peraturan-peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018.

“Bagi kesalahan individu, peniaga berdepan denda mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

“Bagi kesalahan syarikat pula, pesalah boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Menurutnya, notis di bawah Seksyen 21 turut akan dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak didapati menaikkan harga secara mendadak.

“Tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zikril berkata, peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal turut berdepan tindakan denda.

Katanya, peniaga individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000.

“Bagi kesalahan dilakukan syarikat pula, mereka boleh berdepan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya.