Tahfiz di Perak terap pendidikan arus perdana

Ahmad Faizal (dua, kiri) mendengar penerangan mengenai projek pembangunan SMTDR daerah Kinta yang akan memulakan pembinaannya tahun hadapan.
Ahmad Faizal (dua, kiri) mendengar penerangan mengenai projek pembangunan SMTDR daerah Kinta yang akan memulakan pembinaannya tahun hadapan.
A
A
A

IPOH - Institusi tahfiz di negeri ini akan diselaraskan dengan mengambil kira subjek kurikulum dan kokurikulum arus perdana, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, kajian berhubung perkara itu telahpun dilakukan Jawatankuasa Khas Kajian Pendidikan Tahfiz Perak dan telah dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Jawatankuasa ini telah ditubuhkan lama dan antara kajian dibuat termasuklah berkenaan pembangunan tahfiz, dapatan daripada jawatankuasa ini telahpun dipersembahkan kepada baginda Tuanku dan kita akan laksanakannya.

"Dalam pembelajaran tahfiz ini akan kita masukkan kurikulum arus perdana sepertimana dianjurkan Kementerian Pendidikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah projek pembangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) daerah Kinta di Changkat Kinding, Chemor, hari ini.

Hadir sama, Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), Mohd Haidi Sulaiman.

Ahmad Faizal berkata, tahun ini kerajaan negeri melalui Maipk telah memperuntukkan RM350,000 kepada institusi tahfiz yang berdaftar.

"Kita akan meneruskan kelangsungan perjalanan institusi tahfiz di negeri ini dan berusaha membantu agar mereka berdaya saing melahirkan huffaz yang cemerlang di peringkat global," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SMTDR daerah Kinta yang dibina di atas tapak seluas 13 ekar ini berkonsepkan asrama penuh dan dilengkapi prasarana seperti bangunan akademik, bangunan asrama, makmal, bengkel dan dewan makan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembinaan sekolah itu hanya bermula tahun hadapan dan dijangka siap pada 2021.

"Buat masa ini terdapat dua lagi SMTDR iaitu di daerah Batang Padang dan Hulu Perak sedang dalam pembinaan yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

"Kerajaan negeri juga akan meneruskan pembinaan SMTDR di setiap daerah lain, fasa seterusnya adalah di Hilir Perak, Kuala Kangsar, Kerian dan Larut Matang Selama," katanya.