Pemuda mati dalam tahanan: Edict gesa AG tidak buat rayuan

Keterangan gambar - M Visvanathan (tengah) bersama kedua ibu bapa Syed Mohd Allahyarham Azlan, Syed Mohamed Nor Ali, 72, dan Syarifah Khalilah Syed Sulaiman, 61, (kiri) pada sidang media hari ini.
Keterangan gambar - M Visvanathan (tengah) bersama kedua ibu bapa Syed Mohd Allahyarham Azlan, Syed Mohamed Nor Ali, 72, dan Syarifah Khalilah Syed Sulaiman, 61, (kiri) pada sidang media hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Menghapuskan Kematian dan Dera Dalam Jagaan (Edict), menggesa Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas supaya tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu yang memberikan pampasan kepada bapa seorang pemuda yang meninggal dunia dalam tahanan polis lima tahun lalu.

Pengerusi Edict, M Visvanathan berkata, Peguam Negara mesti memberi jaminan bahawa dia tidak akan menarik keputusan berkenaan untuk 'mencerminkan keadilan' bagi keluarga terbabit.

"Thomas perlu membuat kenyataan dengan segera bahawa dia tidak akan meneruskan rayuan sivil dalam kes ini untuk menunjukkan kemarahan peribadinya terhadap ketidakadilan yang berlaku," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada 25 November 2014, Polis Johor menyatakan kematian seorang pemuda selepas ditahan dalam satu serbuan di Pengerang adalah sebagai kematian mengejut.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati kematian Allahyarham Syed Mohd Azlan Syed Mohamed Nor yang berusia 26 tahun itu adalah disebabkan trauma hentakan tumpul di dada.

Pemeriksaan terhadap mayatnya turut menemui 61 jenis kecederaan di bahagian muka, badan dan kedua-dua kaki yang sebahagiannya dikatakan konsisten dengan pergerakan mempertahankan diri ketika menerima serangan fizikal.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Khamis lalu mengarahkan polis membayar RM448,000 kepada waris sebagai nilai pampasan ekoran kekerasan fizikal dilakukan pasukan keselamatan itu.

Artikel Berkaitan:

Visvanathan pada sidang media hari ini.
Visvanathan pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Visvanathan juga menuntut Thomas menjelaskan keputusannya mempertahankan ketiga-tiga anggota polis dalam kes sivil, kerana Pejabat Peguam Negara (AGC) juga mendakwa mereka dalam kes berasingan di mahkamah jenayah.

"AGC mahu mendakwa ketiga-tiga orang tersebut dan menghantar mereka ke penjara dan pada masa yang sama AG melalui tindakan sivil mengatakan mereka tidak melakukan apa-apa yang salah.

"Keadaan ini sememangnya tidak masuk akal apabila AG membenarkan AGC untuk mempertahankan orang-orang yang dikatakan menyebabkan kematian Azlan," katanya.

Visvanathan berkata, bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini turut memilih untuk tidak mempertahankan anggota polis terbabit.

"Ketiga-tiga mereka dilepaskan dan dibebaskan dalam kes jenayah di Mahkamah Tinggi Ogos lalu, tidak tahu sama ada nanti Thomas akan menarik keputusan itu.

Visvanathan juga mempertikaikan bagaimana salah seorang pegawai yang terbabit dalam kes berkenaan dinaikkan pangkat ke penolong penguasa (ASP) hanya dua tahun selepas kejadian itu.

"Adakah tindakan polis mencerminkan keadilan kepada Azlan? Kepada saya, ia menyedihkan. Ia seolah-olah mereka bersekongkol dengan sistem keadilan negara," katanya.

Beliau berkata, kes kematian dalam tahanan sering berlaku dan yang terbaharu katanya berlaku di Jinjang, Kuala Lumpur.

Justeru, beliau menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengemukakan semula draf Suruhanjaya Aduan Suruhanjaya Aduan dan Salah Polis Bebas (Ipcmc) yang dirumuskan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pembaharuan polis pada tahun 2005.

Beliau berkata, berjuta-juta wang pembayar cukai dibelanjakan untuk penyediaan rang undang-undang RCI 2005 jadi mengapa kerajaan tidak mahu menggunakan undang-undang itu berbanding rang undang-undang 2019 yang jauh lebih lemah.