Rumah promoter terbakar akibat khianat

Dinding rumah mangsa terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat. - Foto BBP Sungai Pinang
Dinding rumah mangsa terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat. - Foto BBP Sungai Pinang
A
A
A

KLANG – Rumah seorang promoter dihuni bersama lima ahli keluarga terbakar di Jalan Kunci Air, di Rantau Panjang, di sini terbakar awal pagi tadi akibat perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian disedari mangsa berusia 43 tahun yang belum tidur pada jam 4.20 pagi.

“Ketika kejadian mangsa belum tidur kerana sedang melayari internet sebelum terhidu bau seperti minyak petrol. Mangsa juga terdengar bunyi seperti orang berjalan di luar rumah sebelum terdengar bunyi letupan dan melihat api marak di bahagian hadapan rumah,” katanya.

"Mangsa kemudian mengejutkan semua ahli keluarga dan berjaya menyelamatkan diri mereka. Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, punca kebakaran disebabkan petrol yang disimbah sekeliling rumah dan dibakar dengan menggunakan mancis,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kerugian kira-kira RM2,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Zaidi Athan berkata, sebuah jentera bersama pegawai dan tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Kebakaran melibatkan rak kasut dan dinding rumah berkeluasan 2x2 meter persegi, namun berjaya dipadamkan pemilik rumah.

“Kebakaran dipercayai ada unsur khianat berikutan terdapat bau petrol di tempat kebakaran dan di sekeliling rumah tersebut. Kes diserahkan kepada forensik bomba dan polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan: