Maut gara-gara tilam terbakar

Keadaan tilam yang terbakar.
Keadaan tilam yang terbakar.
A
A
A

SEGAMAT - Seorang lelaki ditemui terbaring tidak sedarkan diri di hadapan sebuah rumah yang terbakar sebelum disahkan maut dalam kejadian di Jalan Seri Bintang 1 Taman Sri Bintang di sini malam tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Penolong Kanan Pengusaha Bomba Marzuki Ismail berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 malam.

“Setibanya di lokasi itu, bomba mendapati berlaku satu kebakaran di dalam sebuah rumah teres berkeluasan 20x70 kaki yang mana telah dipadamkan sebelum kehadiran pihak bomba.

“Kebakaran hanya melibatkan salah satu tilam yang berada dalam rumah berkenaan dan tidak membabitkan struktur bangunan yang lain.

“Bagaimanapun, ketika di lokasi, bomba telah menemui seorang mangsa di hadapan rumah terbabit yang ketika itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Marzuki berkata, mangsa yang berusia 54 tahun itu juga telah diberi rawatan awal pernafasan (CPR) oleh pegawai Kementerian Kesihatan sebelum ambulans tiba di lokasi.

“Susulan itu, mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.32 malam.

Artikel Berkaitan: