Remaja warga Indonesia ditahan seludup dadah

Mustafa (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang cuba dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.
Mustafa (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang cuba dibawa ke Tanjung Balai, Indonesia.
A
A
A

PONTIAN - Seorang remaja lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh kasar di Johor Bahru ditahan kerana cuba membawa dadah jenis syabu seberat 800 gram bernilai RM40,000 ke Tanjung Balai Indonesia.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, remaja berusia 19 tahun itu berada dalam keadaan mencurigakan sewaktu ditahan di simpang masuk Kampung Nelayan Air Masin Kukup pada 18 Disember lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek mendapati dadah terbabit diletakkan di dalam beg galas dan suspek sedar barang terbabit adalah dadah.

"Hasil saringan ujian air kencing, suspek negatif dadah. Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

"Hasil siasatan ke atas suspek, suspek baharu pertama kali terlibat dengan cubaan membawa dadah ke luar.

"Dadah tersebut dibungkus menggunakan plastik pembalut teh Cina," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di sini hari ini.

Dadah yang dirampas dibalut dalam bungkusan teh Cina.
Dadah yang dirampas dibalut dalam bungkusan teh Cina.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, Mustafa berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun dan merampas dadah jenis heroin seberat 23.95 gram di Kampung Sungai Bunyi di sini pada 17 Disember lalu.

"Bekalan dadah tersebut dipercayai untuk diedarkan di kawasan Pontian.

"Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah. Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, setakat ini IPD Pontian telah menangkap seramai 576 orang di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1953, Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952.