Penangan rona merah jambu

Nuansa yang menyerlahkan personaliti golongan wanita

No Image Caption
A
A
A

PENGACARA televisyen dan penulis makanan popular kelahiran Bath, United Kingdom (UK), Mary Berry gemar mencipta kelainan terutamanya dalam bab berfesyen.

Buktinya, pada saat wanita seusianya selesa menyarungkan busana palet warna pastel dan lembut, namun Berry berusia 84 tahun tampil berani menggayakan koleksi pakaian berasaskan merah jambu terang.

Lihat sahaja penampilan beliau mengenakan dres separa lutut polos warna berkenaan dalam satu program televisyen yang turut diserikan dengan kehadiran pasangan diraja Putera William dan isteri, Kate Middleton pada 16 Disember lalu.

BERRY (tengah) diapit Price William (kiri) dan Kate Middleton membuktikan wanita berusia emas juga ideal menggayakan busana jenama Damsel in a Dress merah jambu. Foto: www.hellomagazine.com
BERRY (tengah) diapit Price William (kiri) dan Kate Middleton membuktikan wanita berusia emas juga ideal menggayakan busana jenama Damsel in a Dress merah jambu. Foto: www.hellomagazine.com

"Selain busana merah jambu, saya juga akan memakai beberapa lapis bulu mata palsu dan memilih warna pemerah pipi atau pembayang mata terang supaya tidak tampak lesu," jelasnya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Kemunculan beliau dalam persalinan merah jambu terang koleksi Damsel in a Dress tersebut bukan sahaja menjadi perbualan netizen, bahkan turut mendapat perhatian pemain industri fesyen antarabangsa.

Majoriti menyifatkan inisiatif Berry memilih warna berkenaan secara tidak langsung membuktikan bahawa merah jambu bukan hak mutlak baik untuk kanak-kanak perempuan mahupun kelompok remaja yang meminati fesyen Pop Art.

Bicara Berry, wanita seharusnya berani dan bebas bereksperimentasi untuk menterjemahkan perkara diminati dalam medium penggayaan.

Artikel Berkaitan:

Sememangnya, faktor usia bukan penghalang bagi seseorang itu tampil stailo, apatah lagi memilih item fesyen rekaan dan warna moden seperti merah atau merah jambu.

Hakikatnya, nuansa itu ideal digayakan wanita daripada pelbagai peringkat umur asalkan bijak mempraktikkan konsep suai dan padan bersama pakaian, aksesori, tas tangan dan sepatu pilihan.

Koleksi Cole Haan

Dalam pada itu, khas buat wanita yang meminati warna romantik dan feminin, koleksi pelengkap gaya Cole Haan antara jenama pilihan bersesuaian. Sebagai penutup tirai 2019 label gaya hidup keluaran Amerika Syarikat tersebut menampilkan rangkaian Cole Haan x Rodarte berasaskan rona merah jambu.

Pilihan warna sedemikian tampak serasi apabila dipadankan bersama pakaian warna pastel, hitam, putih dan biru termasuk pakaian motif flora, geometri atau abstrak.

Menerusi kolaboratif itu, wanita berpeluang bersantai sambil menyarungkan sneakers dan tampil anggun dengan kasut bertumit tinggi.

Ini bermakna, Cole Haan bukan sahaja menawarkan konsep fesyen kasual, bahkan turut menerapkan gaya stailo, comel dan menawan.

Kasut bertumit tinggi misalnya, ideal dipadankan bersama gaun kembang, dres labuh ataupun busana tradisional.

Selain digayakan pada majlis formal, ia juga boleh dipakai ketika memenuhi undangan majlis perkahwinan atau acara minum petang.

Menariknya, bagi menyuntik kelainan pada kasut tumit tinggi tersebut, Cole Haan menggabungkan warna hitam bahagian belakang manakala merah jambu permukaan muncung hadapan kasut.

KOMBINASI warna merah jambu dan hitam pada sepatu jenama Cole Haan menyuntik penampilan sofistikated.
KOMBINASI warna merah jambu dan hitam pada sepatu jenama Cole Haan menyuntik penampilan sofistikated.

Selain itu, jenama popular itu turut menghasilkan tas tangan pelbagai saiz yang sesuai digayakan oleh semua bentuk badan.

Bagi wanita bertubuh langsing dan tinggi, pilih saja beg jenis lebar berbanding bertali pendek untuk mengelakkan diri kelihatan rendah.

Wanita yang berbadan gempal pula, beg tangan bersaiz kecil dan bulat serta bersegi pilihan sepadan.