Sembilan maut minum arak tiruan di Manila

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MANILA - Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dengan lebih 130 lagi sakit selepas minum arak tiruan yang mengandungi metanol toksik di wilayah Laguna dan Quezon, selatan Manila, lapor agensi berita Xinhua memetik pegawai tempatan hari ini.

Datuk Bandar, Vener Munoz dari bandar Rizal di wilayah Laguna berkata, dalam insiden berasingan itu, lapan maut di bandar tersebut selepas menghadiri majlis hari jadi dan Krismas pada hujung minggu.

Tujuh daripada 129 orang lagi dikejarkan ke sebuah hospital di Manila dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata, seorang penduduk di bandar Candelaria di wilayah Quezon pula maut dan dua lagi koma selepas minum arak yang diperbuat daripada air kelapa itu.

Poli sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menghasilkan arak tiruan berkenaan.

Arak yang dihasilkan secara tradisional itu lebih dikenali sebagai 'lambanog' di kalangan penduduk tempatan diperbuat daripada manisan air kelapa, kemudian melalui proses penuaian dan penyulingan.

Tahun lepas, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh di wilayah Laguna, Rizal dan Tarlac di pulau Luzon.

Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Filipina mendapati arak tiruan itu mempunyai kandungan metanol yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Sesetengah pengeluar menggunakan campuran bahan kimia berbahaya ketika menjalankan proses penapaian dan penyulingan. - Bernama