Keindahan salju di Suria KLCC sempena Krismas

Suria KLCC menampilkan suasana mempesonakan berinspirasikan perkampungan bersalji di Eropah sempena Krismas.
Suria KLCC menampilkan suasana mempesonakan berinspirasikan perkampungan bersalji di Eropah sempena Krismas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Musim perayaan tahun ini menjanjikan pengalaman yang pasti tidak akan dilupakan apabila Suria KLCC menampilkan 'Christmas Wonders In White'.

Suasana mempesonakan berinspirasikan perkampungan bersalji di Eropah itu akan menggamit pengunjung mengabadikan diri berlatarkan Menara jam besar dan deretan kedai Klasik yang dihias indah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, dekorasi tahun ini menggabungkan tradisi dan keanggunan, menjadikan ia lokasi sempurna untuk sesi bergambar.

"Buat pertama kalinya, pengunjung di Suria KLCC akan merasai pengalaman salji di samping bergambar di Roda Ferris setinggi 20 kaki yang dibina khas.

"Pengunjung turut disambut dengan variasi watak 'Snowman' di setiap pintu masuk utama dan ruang legar Suria KLCC," katanya.

Beliau berkata, perayaan Natal ini juga adalah masa terbaik untuk menyatupadukan warga Malaysia tanpa mengira agama, kepercayaan dan latar belakang.

Katanya, seperti kelaziman, replika pokok Krismas tertinggi di Malaysia akan terus megah berdiri di Esplanade KLCC.

"Struktur dengan ketinggian 100 kaki ini dihiasi lebih 7,000 bebola hiasan berona pelangi, khusus untuk pengunjung bergambar sehingga 25 Disember.

Artikel Berkaitan:

"Selain dari hiasan kreatif dan unik, pengunjung berpeluang membeli-belah sempena Krismas di kedai-kedai khas Suria KLCC dan menyertai bengkel-bengkel interaktif," katanya.

Dalam pada itu katanya, sempena sambutan Krismas, Suria KLCC memberikan ganjaran buat pengunjung yang berbelanja di lebih 350 kedai bermula 22 November hingga 29 Disember ini.

Terdapat 10 koleksi Pandora Charm untuk ditebus oleh pengunjung Suria KLCC dengan setiap pembelian berjumlah RM1,500 di dalam dua resit.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi Krismas dan jadual aktiviti pusat beli-belah, orang ramai boleh melayari www.suriaklcc.com.my.