'Politikkan agihan pendapatan ASB tindakan tak bertanggungjawab'

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang dilihat cuba mempolitikkan isu berkaitan agihan pendapatan 5.00 sen seunit ASB dan bonus 0.50 sen seunit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi 2019 yang diumumkan Permodalan Nasional berhad (PNB) minggu lalu.

Beliau berkata, tindakan itu jelas berniat jahat dan jahil, tambah lagi pihak terlibat juga cuba menyalahkan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, perkara ini mengabaikan hakikat bahawa ekonomi global menghadapi rintangan ketara tahun ini dan pelbagai inisiatif juga diambil PNB untuk meningkatkan tadbir urus korporat syarikat itu.

Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, aset Di Bawah Pengurusan (AUM) PNB juga melebihi RM300 bilion dengan kira-kira 90 peratus dilaburkan di dalam Malaysia.

"Sebarang pergerakan besar oleh PNB akan memberi impak besar kepada pasaran saham Malaysia dan ASB juga bukanlah satu dana ajaib yang beroperasi dalam vakum.

"Oleh itu, pendapatan 5.5 peratus, walaupun mungkin mengecewakan sesetengah pihak, masih merupakan pencapaian besar oleh PNB," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz menerusi anak syarikatnya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen untuk dana utamanya ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Tahun lalu, ASNB mengagihkan pendapatan sebanyak 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit yang dianggap sebagai pulangan terendah dalam sejarah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Nik Nazmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, pengagihan RM9.0 bilion diagihkan kepada 10 juta pemegang unit dan itu merupakan kejayaan besar pasukan PNB termasuk kepimpinan baharu.

"Sama ada kita suka atau tidak, sebagai ekonomi terbuka, Malaysia termasuk dalam ekonomi global dan kita tidak akan mampu sepenuhnya melindungi diri daripada arusnya," katanya.

Tegasnya, menjadikan rakyat ketagih kepada dividen yang tidak lestari juga adalah tidak bertanggungjawab.