Dakwaan bekas SU Agung tidak relevan dibincangkan: Presiden MTUC

Abdul Halim
Abdul Halim
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, beliau terkejut dengan dakwaan dibuat oleh bekas Setiausaha Agung kesatuan itu, N Gopal Kishnam.

Ini kerana Gopal mendakwa Abdul Halim dan Setiausaha Agung MTUC, J Solomon menyembunyikan perkara berhubung penggantungan badan itu daripada Majlis Umum kesatuan berkenaan.

Abdul Halim berkata, perkara yang relevan untuk dibincangkan MTUC kini ialah isu mengenai tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan surat pergantungan MTUC oleh badan itu yang telah ditularkan.

"Kita sedang mendapat perhatian dan bantuan daripada media dalam mengendalikan permasalahan ini namun secara tiba-tiba Gopal membawa perkara ini. Saya rasa ia tidak relevan (dibincangkan) masa ini.

"Saya tidak menyangka Gopal berkata demikian kerana beliau adalah rakan saya dalam perjuangan di Mahkamah Tinggi.

"Kami bersama-sama memperjuangkan MTUC dan bagaimana dia boleh dakwa saya menyembunyikan sesuatu daripada Majlis Umum?" katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Halim berkata, sekiranya Gopal mendakwa ada perkara yang disorok dari Majlis Umum maka itu sebenarnya perkara dalaman yang memerlukannya berbincang pada Majlis Umum MTUC.

Menurutnya, beliau kesal kerana perkara yang tidak jelas seperti itu dibawa kepada media dan bukan kepada pihak yang sepatutnya sehingga menampakkan peranan MTUC menjadi 'kecil' berbanding tugasnya yang besar.

Artikel Berkaitan:

"MTUC mempunyai tanggungjawab lebih besar dalam menentukan pindaan akta, reformasi undang-undang buruh, hak-hak perlindungan kerja yang tidak bermanfaat dan ini perkara-perkara yang lebih relevan.

"Perkara-perkara inilah yang lebih relevan berbanding perkara-perkara seperti didakwa sekiranya Gopal ingin bawa dalam konteks pemilihan pegawai utama (MTUC) untuk pemilihan yang akan datang," katanya.

Katanya, MTUC akan mengadakan sidang akhbar berhubung isu pergantungan MTUC oleh RoS tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: RoS gantung pendaftaran MTUC