Lebih 30 tahun dadah jadi musuh nombor satu negara

Dalam tempoh Januari hingga 24 November lepas, PDRM telah menyita harta rampasan dadah bernilai RM80.82 juta hasil operasi di seluruh negara.
Dalam tempoh Januari hingga 24 November lepas, PDRM telah menyita harta rampasan dadah bernilai RM80.82 juta hasil operasi di seluruh negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sembilan belas makmal memproses dadah dibongkar sepanjang Januari hingga November tahun ini.

Dalam tempoh itu, nilai keseluruhan pelbagai jenis dadah yang dirampas hasil operasi pihak berkuasa dianggar RM272.9 juta.

Itu adalah antara kejayaan pihak berkuasa dalam memerangi dadah yang dianggap sebagai musuh nombor satu negara sejak 36 tahun lepas.

Umum tahu adalah mustahil untuk mencapai tahap ‘negara bebas dadah’, tetapi kerajaan melalui pihak berkuasa sentiasa berusaha bagi memastikan 'penyakit’ yang boleh menyumbang kepada gejala sosial lain itu dapat dibendung.

Kesungguhan kerajaan dalam memerangi dadah itu jelas apabila ia menjadi satu daripada lapan petunjuk dalam indikasi sosial bagi mengukur perkembangan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menjadi satu teras khusus dalam Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) yang dilancarkan kerajaan.

Taktik sindiket yang menggunakan parcel bagi mengedar dadah dibongkar dalam operasi di sebuah syarikat kurier di Subang Jaya baru-baru ini. - Foto PDRM
Taktik sindiket yang menggunakan parcel bagi mengedar dadah dibongkar dalam operasi di sebuah syarikat kurier di Subang Jaya baru-baru ini. - Foto PDRM

Usaha berterusan, bagaimanapun diperlukan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan komprehensif dan seimbang melalui kaedah pendidikan pencegahan, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama strategik bersama pelbagai pihak, kata Pakar Kriminologi, Datuk Seri Akhbar Satar.

Akhbar berkata, dari segi penguatkuasaan, polis perlu kerap mengadakan operasi dari semasa ke semasa serta meningkatkan maklumat risikan sindiket dalaman dan luaran.

Artikel Berkaitan:

Hakikatnya, perang terhadap dadah itu tidak pernah terhenti dengan pihak berkuasa menjalankan operasi secara berterusan membongkar makmal-makmal dadah menumpaskan sindiket-sindiket dadah termasuk yang mempunyai rangkaian antarabangsa serta menangkap pengedar dan penagih dadah.

Dalam tempoh Januari hingga 24 November lepas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyita harta rampasan dadah yang dianggar bernilai RM80.82 juta hasil operasi di seluruh negara.

Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, seramai 163,496 pesalah dadah iaitu pembekal (25,077 orang); memiliki (61,629 orang); dan penagih (76,790 orang) ditahan di seluruh negara dalam tempoh itu.

Sepanjang tempoh itu juga, PDRM turut berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 634.32 kilogram (kg); ganja (624.51 kg); syabu (4,818.64 kg); dan ketamin (251.63 kg).

Anggaran nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM272.9 juta.

Hasil kesungguhan pihak berkuasa dalam memerangi masalah dadah itu boleh dilihat apabila bilangan penagih dadah secara keseluruhannya berkurangan pada tahun 2018 berbanding tahun sebelumnya.

Menurut laman web Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seramai 20,223 orang penagih dicatat pada 2018 iaitu 17,315 orang penagih baharu (new case) dan 2,908 penagih berulang (relapse case) berbanding 21,354 orang terdiri dari 18,112 orang penagih baharu dan 3,242 orang penagih berulang pada tahun 2017.

Statistik pada tahun 2018 menunjukkan seramai 541 orang penagih terdiri daripada mereka yang berumur 13 hingga 18 tahun; 15,131 orang berusia 19 hingga 39 tahun; dan 4,551 orang berusia lebih 40 tahun.

Akhbar turut mencadangkan pihak AADK merangka beberapa modul baharu pendidikan pencegahan dadah dan modul baharu itu seharusnya dilaksanakan dengan kolaborasi PDRM dan Kementerian Pendidikan.

“Walaupun masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja pada umur persekolahan masih terkawal, usaha berterusan memberi pendidikan pencegahan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Dadah diisi dalam bungkusan teh antara taktik yang digunakan untuk menyeludup bahan terlarang itu.
Dadah diisi dalam bungkusan teh antara taktik yang digunakan untuk menyeludup bahan terlarang itu.

Akhbar dan aktivis sosial, Lee Lam Thye senada menyifatkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah inisiatif dan langkah tepat kerajaan dalam memastikan negara terus makmur dan bebas dari gejala dadah.

“Saya berpandangan semua agensi kerajaan perlu menggembleng tenaga menanganinya (dadah) dan tidak mengharapkan hanya pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Lam Thye berkata, institusi kekeluargaan juga perlu memainkan peranan penting iaitu dengan mendidik anak mereka supaya menjauhi dadah.

“Dengan kata lain, masalah dadah ini memerlukan azam gigih secara berterusan oleh semua pihak dan ia tidak dapat diagih-agihkan kepada beberapa agensi sahaja ataupun kumpulan-kumpulan tertentu untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata, selagi ada bibit-bibit kelemahan pada mana-mana peringkat, ia dapat memberi peluang kepada pengedaran dan penggunaan dadah, selagi itulah masyarakat akan terus diancam dengan gejala itu. - Bernama