Denda hisap rokok, vape di Thailand lebih tinggi dari Malaysia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BARU-BARU ini Merak Jalanan berpeluang untuk berkunjung ke Empangan Bang Lang atau dikenali sebagai Empangan Pattani merupakan empangan hidroelektrik yang terletak di daerah Bannang Sata di Yala, Thailand.

Ia merupakan empangan pelbagai guna yang pertama dibangunkan di selatan Thailand. Empangan itu mula dibina pada Julai 1976 dan dibuka secara rasmi pada September 1981.

Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian Merak Jalanan ialah semasa berada di pintu masuk Thailand dapat dilihat satu papan tanda larangan yang besar yang menunjukkan isyarat tidak membenarkan penggunaan vape.

Rupa-rupanya, perbuatan membawa masuk dan menghisap vape di Thailand adalah satu kesalahan besar.

Ini kerana jika didapati membawa masuk dan menghisap vape secara terbuka maka hukumannya ialah penjara tidak lebih dari 10 tahun atau denda RM64,000.

Merak Jalanan difahamkan sebanyak 26 pantai popular yang telah digazetkan oleh kerajaan Thailand sebagai kawasan larangan merokok.

Jika sabit kesalahan, penjara tidak lebih setahun atau denda THB100,000 (RM12,800) atau kedua-duanya sekali.

Sementara di Malaysia, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap restoran atau kedai makan mulai 1 Januari.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan merokok di kawasan larangan, kompaun sebanyak RM250 boleh dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka akan didakwa di mahkamah dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau tidak lebih dua tahun penjara.

Bagaimanapun, belum terdapat sebarang peraturan dibuat terhadap vape di negara ini dan perbincangan masih dilakukan dengan pihak berkepentingan.

Yang menghairankan, kecoh di seluruh negara sehingga ada yang mengatakan mereka kesal mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya yang lalu gara-gara peraturan merokok di premis berkenaan.

Golongan yang menghisap vape dan rokok di Malaysia menganggap keputusan kerajaan tidak adil kepada mereka sehingga sanggup membawa kes tersebut ke mahkamah tetapi mereka kalah.

Nampaknya, kalau hendak dibandingkan dengan Thailand, negara tersebut begitu serius terhadap kesihatan rakyat mereka dan peraturan itu telah dikuatkuasakan sejak tahun 2014 lagi.

Bagi Merak Jalanan yang memang tidak merokok ini menyokong penuh sekiranya kerajaan ambil tindakan lebih keras terhadap vape dan rokok.