Barang seludup hampir RM1 juta dirampas sepanjang musim banjir

Abd Rashid (kanan) ketika memantau laluan sungai di Kampung Kudong, Tumpat yang didakwa menjadi laluan penyeludup membawa masuk barang ke tebing negara ini ketika musim banjir.
Abd Rashid (kanan) ketika memantau laluan sungai di Kampung Kudong, Tumpat yang didakwa menjadi laluan penyeludup membawa masuk barang ke tebing negara ini ketika musim banjir.
A
A
A

TUMPAT - Pihak berkuasa berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan hampir RM1 juta dalam tempoh tiga hari sepanjang musim banjir di negeri ini membabitkan beberapa tangkapan.

Antara barangan yang diseludup sepanjang banjir gelombang kedua termasuk barang jualan kedai runcit, lembu, ayam sejuk beku, kambing dan beras.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud menafikan kegiatan penyeludupan aktif pada musim banjir kerana pihaknya telah menempatkan anggota bertugas di kawasan sempadan.

“Kita sentiasa meningkatkan pemantauan khususnya semasa banjir ketika air sungai melimpah ke tebing sempadan Malaysia yang memudahkan mereka menjalankan penyeludupan.

“Kami bertugas sepanjang 24 jam. Di sini juga terdapat Balai Polis Pengkalan Kubor, Balai Polis Simpangan dan Balai Polis Kuala Jambu yang mana anggota telah diarahkan untuk bertugas setiap masa,” katanya ditemui di sini hari ini.

Ab Rashid
Ab Rashid

Ab Rashid berkata, Pasukan Polis Marin turut membuat rondaan di sepanjang 14 kilometer laluan sungai di kawasan sempadan selain pemeriksaan di lima pos kawasan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini untuk memastikan aktiviti penyeludupan ditumpaskan.

"Bagaimanapun jika benar dakwaan penduduk kita memohon kerjasama untuk melaporkannya kepada polis untuk tindakan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan aduan penduduk di sempadan Tumpat, mereka mendakwa aktiviti membawa masuk ‘barang’ dari negara Thailand semakin kencang di kawasan itu berikutan paras air sungai yang tinggi semasa banjir memudahkan mereka berurus niaga.

Sebelum itu, Pasukan PGA Batalion 7 Kuantan berjaya mematahkan penyeludupan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand melibatkan nilaian RM476,000.

Kelmarin, pasukan sama juga menggagalkan penyeludupan 25 lembu jantan dari Thailand bernilai RM150,000 di Kampung Nechang Tumpat dengan nilai keseluruhan RM250,000.

Ketangkasan PGA Batalion 7 Kuantan turut merampas pelbagai barangan yang dianggarkan bernilai RM115,059 dalam dua serbuan berasingan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang serta di Repek.

Tinjauan Sinar Harian hari ini mendapati limpahan air banjir di sempadan Sungai Golok di Kampung Kudong yang hanya sejauh 300 meter lebar itu sangat memudahkan mereka menghantar barangan ke tebing, tambahan tiada kawalan keselamatan di lokasi tersebut.

Kelihatan juga di tebing sungai sebelah negara jiran terdapat beberapa ekor lembu yang berkemungkinan menunggu masa untuk berenang ke Malaysia.