Nicol kongsi kejayaan selepas bersara

Nicol (kiri) menyerahkan poster kejayaannya kepada Kon Yeow (kanan) di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di sini hari ini.
Nicol (kiri) menyerahkan poster kejayaannya kepada Kon Yeow (kanan) di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David di sini hari ini.
A
A
A

PEMAIN skuasy negara, Datuk Nicol Ann David berazam akan memberi inspirasi kepada pemain pelapis sukan itu dalam mengecapi kejayaan di peringkat dunia.

Nicol berkata, beliau akan terlibat dengan pelbagai program yang dirancang pada tahun depan selepas mengumumkan untuk bersara pada pertengahan Februari lalu.

Menurutnya, antara program yang dirancang adalah kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan, berkongsi kemahiran dalam klinik skuasy dan memberi ceramah motivasi.

"Saya akan memberi kembali apa yang saya kecapi selama ini kepada sukan ini (skuasy). Saya lihat banyak pemain junior yang berpotensi untuk berjaya ke peringkat seterusnya. Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran yang ada dengan mereka.

"Mengenai perancangan tahun hadapan, banyak yang telah dirancang malah ia telah pun bermula sejak bulan lalu. Antara rancangan tahun depan adalah saya akan memberi tumpuan kepada yayasan saya, Nicol David Foundation," katanya kepada media selepas Majlis Tribute To Datuk Nicol David di Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David, Bukit Dumbar di Georgetown hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Exco Pembangunan Keluarga dan Wanita, Chong Eng.

Nicol berkata, beliau juga dijemput untuk memberi ceramah motivasi tentang kehidupan seorang pemain skuasy profesional sebagai peniup semangat kepada golongan muda.

"Saya ingin membawa sukan ini kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan dan meningkatkan penyertaan kanak-kanak perempuan dalam sukan. Dengan sukan, ia boleh menjadikan seseorang belia itu berpengaruh dalam masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Melalui yayasan saya ini, saya ingin membantu mereka yang tidak mempunyai akses untuk menceburi sukan skuasy ini. Saya mungkin tidak akan menubuhkan akademi sebaliknya menumpukan kepada yayasan. Ini kerana dengan yayasan saya boleh pergi ke semua tempat yang mana jika akademi, ia hanya tertumpu pada satu kawasan sahaja," katanya.

Ditanya mengenai tawaran sebagai jurulatih, Nicol berkata, beliau kini terlibat untuk menjadi jurulatih sambilan melalui beberapa program asas kem (camp basis).

"Sebagai jurulatih, saya tidak akan membuatnya sepenuh masa tetapi kini terlibat dengan program asas kem. Setakat ini, saya sudah terlibat di Amerika Syarikat dan berharap dapat buat perkara sama di Malaysia.

"Saya juga terlibat dengan program untuk menarik lebih ramai belia bagi menceburkan diri dalam sukan skuasy," katanya.

Nicol memegang rekod pemain paling lama yang menghuni ranking nombor satu dunia iaitu selama sembilan tahun sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily pada 2015.

Pemain yang kini berada di kedudukan ke-21 dunia sudah mengecapi kesemua kejuaraan termasuk lapan kali bergelar juara dunia selain lima pingat emas Sukan Asia, dua emas Sukan Komanwel dan 81 gelaran kejuaraan Jelajah PSA.