69 Komando ungguli kejohanan payung terjun antarabangsa

Kejohanan julung kali diadakan ini membabitkan 13 pasukan dengan 98 penerjun tempatan dan luar negara.
Kejohanan julung kali diadakan ini membabitkan 13 pasukan dengan 98 penerjun tempatan dan luar negara.
A
A
A

IPOH - Pasukan 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) menepati ramalan untuk mengungguli Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 yang menutup tirainya hari ini.

Pasukan itu muncul juara bagi kategori accuracy sport dan canopy formation serta tempat ketiga bagi formation skydive.

Program peringkat antarabangsa yang julung kali diadakan itu membabitkan 13 pasukan dengan 98 peserta termasuk 47 penyertaan dari Indonesia, Australia serta Korea Selatan dan sembilan daripadanya merupakan penerjun wanita.

Pasukan tempatan lain turut mengambil bahagian adalah Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang dan peserta individu.

Turut memberi saingan dalam kejohanan itu adalah peserta mewakili Police of Republic Indonesia (Polri) dan Komando Pasukan Khusus (Kopassus) yang mendominasi beberapa kategori antaranya formation skydive, dead centered award juga accuracy sport kategori wanita.

Korps Pasukan Khas Angkatan Udara Indonesia, Left Kolonel Pasukan Helmi Arsiyanto Nangese berbesar hati apabila berpeluang menyertai pertandingan berskala besar seperti itu.

"Secara teori kejohanan ini sudah cukup mencapai tahap antarabangsa, semua aturan terutama aspek keselamatan diberi penekanan yang baik.

"Kami sangat berpuas hati dan sudah pasti bersedia untuk mengambil bahagian sekiranya diadakan lagi tahun hadapan," katanya ketika ditemui pada majlis penutup kejohanan itu di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Majlis penutup disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang turut dihadiri Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Abdul Hamid (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Abdul Hamid (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain dan Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd Yusoff.

Dalam ucapannya, Abdul Hamid berharap aktiviti berkenaan dijadikan acara tahunan baik di peringkat negeri mahupun Pusat untuk menarik lebih ramai kehadiran penggiat sukan itu dari seluruh dunia.

"Saya amat bangga apabila dimaklumkan kejohanan kali ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat sukan payung terjun tempatan dan antarabangsa.

"Sebahagian besar peserta merupakan anggota badan beruniform yang masih berkhidmat dan telah bersara, terdapat juga peserta wanita dan veteran membuktikan faktor umur dan jantina bukanlah penghalang menceburi sukan yang penuh berisiko tinggi ini," katanya.

Menurutnya, cabaran serta risiko yang dihadapi semasa melakukan penerjunan boleh dianggap medan ujian bagi membuktikan kemampuan diri.

"Selain berupaya menangani rasa takut pada ketinggian, sukan ini juga memberikan kepuasan maksimum, menuntut kepantasan penerjun bertindak dalam tempoh singkat.

"Jika tersalah percaturan langkah, pasti boleh mengundang padah," katanya.

Kejohanan yang bermula 14 Disember lalu itu adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas 69 Komando yang disambut pada 23 Oktober lepas.