Umno hormati keputusan Sultan Muhammad V

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

SEREMBAN - Keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah keputusan yang diterima oleh Umno dengan akur dan hormat.

Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataannya berkata, Umno mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku atas naungan serta kepimpinan yang diberikan sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong adalah bidang kuasa eksklusif Majlis Raja-raja, justeru Umno menggesa semua pihak untuk memahami dan menghormati perkara ini.

"Ia tidak seharusnya dicemarkan dengan sebarang spekulasi, khabar angin yang tidak sahih, atau dipolitikkan secara tidak bertanggungjawab atau apa-apa sahaja tindakan yang tidak santun," katanya.

Tambahnya, Umno menyatakan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Majlis Raja-raja dalam tradisi dan hal ini.

Justeru, Umno mengecam keras sebarang tindakan yang bersifat cubaan menangguk di air keruh.

"Umno ingin menyeru bukan sahaja orang Melayu, tetapi seluruh bangsa Malaysia untuk bersama-sama menyatakan sokongan, kesetiaan dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja-raja Melayu.

"Selaku warga negara yang menjunjung Rukun Negara, marilah kita semua bersama-sama menghormati kedaulatan institusi ini dengan taat dan setia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Umno juga mendoakan semoga keseluruhan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang berikutnya akan berjalan lancar dan baik.