YPC mahu ‘tawan’ 222 Parlimen

YPC mengadakan program khidmat sosial pasca banjir iaitu menukar minyak hitam percuma untuk motosikal di Rantau Panjang.
YPC mengadakan program khidmat sosial pasca banjir iaitu menukar minyak hitam percuma untuk motosikal di Rantau Panjang.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Youth Power Club (YPC) yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) menyasarkan untuk ‘menawan’ 222 kawasan Parlimen di negara ini dalam usaha memperkasakan golongan belia pada masa hadapan.

Pengerusinya, Rafiq Hakim Razali berkata, pemerkasaan itu bertujuan memastikan golongan belia berada pada landasan terbaik dalam memacu negara ke peringkat lebih tinggi.

“Kita telah gariskan lima teras utama dalam menggerakkan YPC iaitu sukarelawan, usahawan, pendidikan, sukan dan hubungan antarabangsa.

“Lima teras ini kita akan gerakkan bagi memastikan generasi belia pada masa hadapan lebih produktif selaras dengan keperluan semasa,” katanya kepada Sinar Harian pada program khidmat sosial pasca banjir iaitu menukar minyak hitam percuma untuk motosikal di Rantau Panjang hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan Rantau Panjang, Dr Wan Shah Jihan Wan Din.

Rafiq Hakim berkata, bagi merealisasikan hasrat itu YPC akan turun ke semua kawasan Parlimen seluruh negara.


Rafiq Hakim
Rafiq Hakim

Katanya, YPC akan dijadikan sebagai platform terbaik dalam menggerakkan peranan belia di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai program pasca banjir di Kelantan, beliau berkata, Rantau Panjang merupakan lokasi kedua pilihan YPC.

Katanya, semalam YPC telah turun membersihkan rumah-rumah mangsa banjir yang dilitupi lumpur sekitar kawasan Jeli.

"Bagi program di Rantau Panjang kita memilih membantu mangsa banjir dengan menawarkan khidmat menukar minyak hitam percuma untuk motosikal," katanya.