Aweta: Penerbangan ke Antartika diteruskan semalam

Aweta bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan. - Foto Bernama
Aweta bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ekspedisi Eksklusif Wanita ke Antartika, ‘All Women Expedition to Antartica’ (Aweta) yang terpaksa ditangguh seketika sebelum ini berikutan keadaan hujan tidak menentu di Puntas Arenas, Chile akhirnya dapat diteruskan semalam.

Wakil jurucakap Aweta ketika dihubungi Bernama berkata, kumpulan tersebut yang diketuai Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir dan tiga peserta ekspedisi telah dibenarkan masuk ke Antartika petang semalam.

"Kumpulan itu telah terbang masuk ke Antartika kira-kira jam 6 petang semalam selepas penerbangan masuk ke sana ditangguhkan sejak Rabu lepas akibat hujan tidak menentu di Puntas Arenas.

"Mereka menaiki pesawat dari Puntas Arenas ke Antartika dengan perjalanan yang mengambil masa lima hingga ke enam jam," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak mendapat maklumat terkini berhubung ekspedisi kumpulan itu berikutan urusan komunikasi hanya dapat dibuat menerusi satelit.

"Kita agak lambat sikit untuk dapat maklumat berkenaan perkembangan kumpulan itu atas faktor tidak mendapat sambungan internet dan komunikasi hanya melalui telefon satelit, dan sekiranya ada perkembangan kita akan maklum dari semasa ke semasa," katanya.

Misi ekspedisi Aweta yang sepatutnya bermula Rabu lepas terpaksa ditangguh seketika berikutan keadaan hujan yang tidak menentu di Puntas Arenas.

ARTIKEL BERKAITAN: Ekspedisi Aweta ke Antartika tangguh kerana cuaca

Artikel Berkaitan:

Kumpulan ekspedisi itu bertanggungjawab untuk melunaskan misi mencari dan membawa pulang kapsul masa lama ditanam Sharifah Mazlina pada 2004 di Kutub Selatan tersebut.

Misi yang dijadual bermula Rabu lepas hingga 3 Januari melibatkan tiga peserta wanita iaitu anggota Tentera Darat Malaysia, Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34; Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri, Salehah Abu Nor, 33; dan ahli farmasi, Nurul Atiqah Tamarun, 31. - Bernama