Kadar pertukaran, kos sara hidup antara situasi sukar

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah menjadikan Malaysia sebagai pengeksport makanan bersih masih tidak dapat menghentikan negara daripada keperluan untuk mengimport mahupun membantu negara sepenuhnya untuk menangani isu kos sara hidup.

Menangani cabaran dalam isu pengeluaran makanan bukan sahaja memerlukan masa dan dasar dalam negeri yang berkaitan kos sara hidup, malah perlu ditangani dengan meningkatkan produktiviti dan menambah baik pendidikan untuk meningkatkan tahap pendapatan.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ini berikutan akhirnya isu kos sara hidup bukan sekadar membabitkan kos yang meningkat

Malaysia capai kadar sara diri kebanyakan makanan asas

Mengulas lanjut bank pusat itu berkata, Malaysia secara keseluruhannya, mencapai kadar sara diri untuk sejumlah besar barangan makanan walaupun jumlah kandungan import untuk makanan sebanyak 24 peratus tidak kecil.

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF

"Daripada 24 peratus itu, komponen import untuk pengeluaran makanan dalam negeri menyumbang 9.0 peratus dan import barangan siap sebanyak 15 peratus," katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.

Dari segi realiti hasil Malaysia mencukupi untuk memenuhi penggunaan dalam negeri bagi kebanyakan barangan makanan asas.

Artikel Berkaitan:

“Daripada 33 produk pertanian yang biasa digunakan, 16 mempunyai nisbah sara diri tinggi menunjukkan barangan makanan ini pengeluaran dalam negeri mencukupi untuk memenuhi penggunaan tempatan,” katanya.

Pergerakan kadar pertukaran menjelaskan hanya sebahagian daripada perubahan harga makanan dan faktor lain mungkin sama penting atau lebih penting.

Impaknya terhad dan berbeza melibatkan barangan makanan, BNM menjelaskan dalam artikel bertajuk 'Import Makanan dan Kadar Pertukaran: Tidak Seperti Yang Disangka' oleh Mohamad Ikmal Ahmad Nordin, Nur Aimi Abdul Ghani, Eilyn Chong dan Zul-Fadzli Abu Bakar.

Misalnya, kesan pindahan kadar pertukaran dianggarkan sekitar 26 peratus untuk harga ikan kembung India berbanding 8.0 peratus bagi harga epal.

Ini menyokong fakta bahawa terdapat faktor lain yang mempengaruhi harga makanan termasuk buruh, utiliti, logistik, margin industri, struktur pasaran serta dasar dan peraturan lain.

Kadar pertukaran bukan penyelesaian utama

Kedua, sehubungan itu, perlu berhati-hati apabila mencadangkan kadar pertukaran sebagai penyelesaian utama kepada kenaikan harga makanan. Pergerakan kadar pertukaran menjelaskan hanya sebahagian daripada perubahan harga makanan dan faktor lain mungkin sama penting atau lebih penting, menurut BNM dalam artikelnya.

Memandangkan barangan makanan adalah komoditi yang diniagakan di peringkat global, permintaan dan penawaran global menjadi penentu penting kepada harga import.

Faktor asas ini akan memacu turun naik harga makanan dunia yang di luar kawalan mana-mana negara.

Misalnya seperti yang dipetik daripada laporan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), harga daging lembu yang diimport dari India telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun kadar pertukaran ringgit naik dalam tempoh sama, disebabkan peningkatan permintaan dari negara-negara seperti China dan Indonesia walaupun sebelum ini Malaysia merupakan pengimport tunggal daging lembu dari India.

Kenaikan harga bawang India baru-baru ini disebabkan gangguan ke atas bekalan berikutan musim tengkujuh di India ketika kadar pertukaran ringgit naik berbanding rupee India.

Harga global untuk ikan dan makanan laut turut meningkat dalam tempoh beberapa tahun ini, berikutan bekalan terhad dan permintaan terus meningkat.

Mengulas mengenai ringgit, BNM berkata, dalam persekitaran global yang amat tidak menentu, fleksibiliti dalam kadar pertukaran ringgit membolehkan ekonomi Malaysia memberi tindak balas terhadap kejutan luaran, termasuk membantu mengurangkan impak daripada permintaan luaran yang rendah ke atas eksport.

Kebelakangan ini, kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan global, pertumbuhan global yang sederhana dan perkembangan geopolitik telah menjejaskan pasaran kewangan dan kadar pertukaran serantau.

Walaupun menghadapi cabaran ini, nilai ringgit terhadap sekumpulan wajaran perdagangan mata wang rakan dagang utama adalah stabil, menurut bank pusat.

“Walaupun ringgit susut berbanding dolar AS, yen Jepun dan baht Thai sejak 2018, ia turut mengukuh berbanding dolar Australia, Euro, renminbi China dan won Korea."

Dalam tempoh sederhana, kadar pertukaran ringgit akan mencerminkan asas ekonomi Malaysia. Ekonomi berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh, inflasi rendah dan sistem perbankan yang berdaya tahan.

Inisiatif dasar dan pembaharuan struktur yang berterusan untuk mengukuhkan lagi daya tahan, produktiviti dan potensi pertumbuhan Malaysia, termasuk memodenkan infrastruktur, meningkatkan jaringan digital, menggalakkan pelaburan bernilai tinggi dan mengukuhkan tadbir urus akan menyumbang kepada kemampanan jangka panjang ekonomi Malaysia, katanya.

Mengenai masa depan

Walaupun cabaran wujud dan sebahagiannya di luar kawalan mana-mana negara tertentu, keputusan untuk tidak berbuat apa-apa akan membawa risiko berikutan harga makanan yang lebih tinggi menjadi beban kepada kos sara hidup pengguna, menurut BNM.

“Masalah kenaikan harga makanan perlu ditangani secara menyeluruh; mengurangkan import sahaja tidak semestinya akan menyebabkan harga rendah, terutamanya apabila input yang diimport merupakan komponen penting dalam kos pengeluaran barangan makanan dalam negeri,” katanya.

Selain itu, kekurangan ekonomi mengikut bidangan berbanding negara pengeluar makanan yang lain mungkin boleh menjadi halangan untuk mencapai kadar sara diri dalam pengeluaran makanan.

Dalam hal ini, pendekatan yang lebih praktikal adalah mengimport bahan makanan pada kos yang lebih murah, katanya.

“Dengan mengambil kira beberapa peringkat yang terlibat dalam pengeluaran makanan, dasar-dasar dalam negeri yang dicadangkan pada masa ini tepat pada masanya dan wajar, yang termasuk mempelbagaikan sumber import, memperkemaskan peraturan dan memodenkan teknologi pengeluaran dan pengedaran.

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF

"Langkah-langkah itu, walaupun mengambil masa untuk direalisasikan akan menangani isu struktur yang menjadi teras kepada masalah bekalan makanan di Malaysia sejak beberapa dekad," katanya.

Bagi kos sara hidup secara keseluruhan, BNM berpandangan bahawa dasar untuk meningkatkan produktiviti dan menambah baik pendidikan bagi meningkatkan tahap pendapatan penting untuk pendekatan yang lebih mampan bagi menangani isu kos sara hidup.

“Dalam persekitaran kos perumahan yang tinggi, turut penting untuk memberi tumpuan kepada hutang isi rumah dan usaha untuk menggalakkan daya tahan isi rumah perlu diteruskan untuk meningkatkan kemampuan dan mengehadkan pengumpulan hutang berlebihan oleh isi rumah.

"Peralihan ke arah ketelusan dan fleksibiliti harga lebih baik akan membolehkan isi rumah dan perniagaan memberi tindak balas kepada permintaan dan penawaran,” katanya.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu, ia juga perlu disertai dengan dasar untuk menangani faktor bahagian penawaran jangka panjang seperti memastikan keadaan pasaran yang kompetitif untuk harga barangan dan perkhidmatan dipacu pasaran dalam ekonomi.

“Memberi tumpuan kepada usaha kami untuk mendapatkan campuran dasar yang sesuai untuk menggalakkan pelaburan yang produktif dan mewujudkan pekerjaan, selain memodenkan infrastruktur akan membantu meningkatkan pendapatan dan mengurangkan isu kos sara hidup,” menurut bank pusat itu. - Bernama