X

Kindly register in order to view this article
!

Sidang Kemuncak KL platform umat Islam

A
A

SIDANG Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang menghimpunkan lebih 500 pemimpin Islam dalam pelbagai bidang dari seluruh dunia adalah langkah kecil ke arah menyemarakkan semula tamadun Islam.

Ia bukan sidang politik walaupun turut dihadiri oleh Presiden, Perdana Menteri, menteri dan wakil beberapa buah negara Islam. Ia adalah dialog umat Islam sedunia yang melibatkan semua lapisan masyarakat daripada pemimpin politik kepada pemikir, cendekiawan dan aktivis masyarakat dalam pelbagai bidang.

Selain mengingati semula sejarah sumbangan Islam kepada kesejahteraan dan ketamadunan umat manusia, sidang itu mempunyai agenda semasa yang nyata dan realistik. Jadi ia bukan nostalgia semata-mata.

Hasil perbincangan terbuka yang tidak dikongkong oleh protokol dan kepentingan nasional, banyak persamaan pendapat, persetujuan dan ketetapan dicapai dalam tajuk fokus utama iaitu pertama, pembangunan dan kedaulatan.

Kedua, integriti dan urus tadbir yang baik. Ketiga, budaya dan identiti. Keempat, kebebasan dan keadilan. Kelima, keamanan, keselamatan dan pertahanan. Keenam, perdagangan dan pelaburan dan ketujuh, teknologi dan jalur lebar.

Tidak seperti persidangan pertubuhan rasmi pelbagai hala macam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Sidang Kemuncak Kuala Lumpur adalah forum terbuka yang melibatkan individu bebas. Jadi, tidaklah benar dakwaan bahawa sidang kemuncak itu bertujuan menyaingi apatah lagi mengambil alih peranan OIC.

Sebaliknya, kalau OIC ikhlas dan cergas membela nasib umat Islam yang tertindas dan berusaha keras untuk membangunkan ekonomi dan tamadun Islam, ia boleh meninjau idea-idea yang tercetus daripada sidang kemuncak itu.

Kritikan bahawa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bertujuan menggantikan OIC adalah cetusan minda yang tertutup, terjajah dan takut kepada realiti.

Saya harap adalah palsu laporan media antarabangsa bahawa terdapat negara Islam yang memulaukan persidangan itu dan memaksa negara sekutu mereka untuk menarik diri.

Namun begitu, kita terpaksa juga menerima realiti pahit dan pedih iaitu walaupun tidak ada lagi negara di dunia yang dijajah tetapi ada negara yang bukan sahaja tidak bebas malah lebih terkongkong daripada ketika mereka dijajah.

Inilah realiti dunia pasca-Perang Dingin di mana penjajahan ideologi sedang digantikan oleh penaklukan ekonomi dan hegemomi ketenteraan.

Malangnya antara yang paling banyak menjadi mangsa pergolakan selepas Perang Dingin ini adalah negara-negara Islam yang miskin dan lemah.

Perangkaan tidak langsung menggalakkan. Walaupun umat Islam berupa 1.7 bilion daripada penduduk dunia dan menjadi agama kedua terbesar, namun pegangan mereka ke atas ekonomi dunia dianggarkan tidak sampai 10 peratus.

Sekarang timbul pula fenomena di mana mereka menjadi mangsa penaklukan bentuk baru yang menjelma sebagai pelaburan asing terus (FDI), pendolaran perdagangan antarabangsa dan pemberian hutang yang melampau.

Amerika menggunakan mata wang dolar untuk terus menguasai ekonomi dan perdagangan dunia manakala China menggunakan hutang untuk menakluki ekonomi dunia ketiga.

Cengkaman hutang China ke atas ekonomi negara-negara miskin khususnya negara-negara Islam telah menjadi begitu buruk sehingga mereka tidak berani menegur penindasan ke atas kaum minoriti di negara raksasa itu.

Sesama negara Islam pun wujud kecenderungan untuk mengongkong dan menghukum menggunakan kuasa wang dan agama.

Jadi adalah amat wajar pemimpin politik, pemikir, cendekiawan dan penggiat masyarakat di negara-negara Islam bangkit untuk mencari jalan mengatasi masalah yang dihadapi oleh umat Islam global.

Mungkin kita tidak boleh lagi bergantung bulat-bulat kepada saluran rasmi atau cara lama yang penuh dengan protokol, birokrasi dan iri hati untuk mencari penyelesaian kepada masalah umat.

Kita kena cari cara dan kaedah yang lebih bebas dan terbuka bersandarkan kesejagatan insan. Islam bukan monopoli mana-mana negara atau organisasi.

Wallahuaklam.

* A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!