Ibu yang dipinggirkan

A
A
A

TANGAN yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Itulah pepatah yang menggambarkan peranan seorang ibu sehingga boleh mempengaruhi kehidupan di dunia.

Seorang ibu yang mendidik anaknya akan menghasilkan anak yang gah di mata dunia sehingga boleh mencorakkan dunia. Peranan ini amat imperatif dalam membentuk keamanan dan juga keharmonian dunia.

Walaupun ibu mempunyai peranan yang besar namun peranan ibu ini sering dipinggirkan. Bukan sahaja peranan ibu dilupakan malah ibu itu sendiri ada kalanya juga langsung tidak dihiraukan oleh anak-anaknya sendiri.

Segala jasa dan pengorbanan ibu begitu mudah dinafikan sehinggakan ada ibu yang berendam air mata mengenangkan anak-anaknya di perantauan.

Benarlah kata orang tua-tua, seorang ibu boleh melahirkan dan membesarkan sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu lagi dapat menjaga seorang ibu.

Ironi ini memang jelas kerana anak-anak atas kesibukan kerja tidak ‘mampu’ menjaga si ibu tua lagi. Pelbagai alasan diberikan bagi mengelak daripada tanggungjawab ini. Walau setinggi manapun jawatan si anak itu, beliau masih tetap anak si ibu.

Walaupun anak tersebut telah bergelar seorang peguam, doktor, ustaz, jurutera dan sebagainya tanggungjawabnya sebagai anak tidak pernah luput.

Institusi

Artikel Berkaitan:

Lazimnya apa yang berlaku ialah kesibukan bekerja menggoyah institusi keluarga serta ikatan kasih sayang antara ibu dan anak-anaknya.

Mempertahankan institusi keluarga ini amatlah penting kerana ia mempunyai impak yang besar kepada pembangunan negara itu sendiri. Jika punah institusi keluarga maka akan hancur juga masa depan negara.

Untuk itu Islam telah menggariskan tanggungjawab anak dengan begitu menyeluruh. Sejak dari awal lagi anak ditegah daripada mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibu bapanya.

Menengking dan mengherdik apatah lagi mendera kedua-dua orang tua adalah berdosa besar di sisi ALLAH. Ibu dan bapa sebenarnya mempunyai hak terhadap anak anak terutamanya apabila ibu atau bapa tersebut tidak berupaya lagi menyara hidup mereka sendiri.

Begitu juga ibu atau bapa yang sakit memerlukan perhatian daripada anak-anak mereka. Sebenarnya waktu inilah peluang diberikan ALLAH kepada anak-anak bagi membalas jasa orang tua dengan memberikan khidmat melayan dan membantu kedua orang tua pada saat-saat getir ini.

Kehadiran anak-anak di sisi ibu bapa yang sedang sakit sahaja pun telah cukup memberi penawar dan semangat kepada kedua-dua orang tua untuk meneruskan kehidupannya.

Budaya sesetengah golongan menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua pula bukanlah norma dalam masyarakat Melayu Islam. Ia begitu asing dan tidak boleh diserapkan dalam budaya kita.

Biar apapun alasan yang diberikan tempat ibu bapa khususnya yang telah uzur adalah di sisi anak anak mereka. Tiada apapun yang dapat menandingi jasa ibu bapa membesar dan mendidik anak-anak mereka sehingga anak-anak mereka berjaya di dunia.

Tidak ada ibu bapa yang mendabik dada mendakwa merekalah ibu bapa terbaik dalam mendidik anak-anak mereka.

Ini adalah disebabkan sikap tawadhu’ ibu bapa tersebut yang hanya mahukan kejayaan anak-anak mereka sahaja walaupun nama mereka tidak dikaitkan dengan kejayaan anak-anak mereka tetapi hakikatnya merekalah teras di sebalik setiap kejayaan anak-anak mereka itu.

Ingatlah wahai anak-anak sementara ibu bapamu masih lagi ada, berilah khidmat yang terbaik kepadanya agar suatu hari kelak kamu tidak menyesal tidak dapat lagi membantu orang tuamu itu.

Sebelum terlambat gunakanlah ruang dan peluang yang ada bagi menebus segala kesilapan yang telah dilakukan.

Tiada ibu bapa yang tidak memaafkan anak-anak mereka. Kisah legenda Si Tanggang yang disumpah oleh ibunya menjadi batu kerana kederhakaannya terhadap ibu sudah cukup menjadi sempadan buat kita semua.

Bagaimanapun, sebenarnya masih lagi terdapat ramai ‘si Tanggang moden’ yang muncul pada masa sekarang ini. Hanya kerana mengejar kekayaan dan harta di bandar, ibu bapa ditinggalkan di kampung dan langsung tidak dijenguk walau seketika.

Makan minum dan sakit peritnya langsung tidak diambil perhatian oleh sesetengah anak-anak yang begitu lena dengan hiruk pikuk kota.

Setiap orang Muslim wajib berbakti kepada kedua orang tuanya. Rasullulah pernah bersabda: “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu” (Riwayat Khatib dan Annas). Dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda: “Ketahuilah olehmu bahawa baik harta, badanmu, mahupun jiwa ragamu itu adalah hak atau milik orang tuamu.”

Jelaslah Islam begitu menghargai peranan seorang ibu. Sama-samalah kita mensedekahkan al-Fatihah kepada ibu-ibu kita yang telah mendahului kita.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Perstuan Peguam-peguam Muslim Malaysia