Mara hentikan pelaburan baru kecuali sektor pendidikan

Hasnita
Hasnita
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyatakan komitmennya untuk mengurangkan kerugian dan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor pendidikan menjelang 2020.

Pengerusi Mara, Hasnita Hashim dalam surat terbuka kepada pemegang taruh hari ini berkata, langkah awal telah dilakukan apabila pada tahun ini, Mara telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan.

"Susulan itu, semua anak syarikat Mara akan diletakkan di bawah pemantauan satu jawatankuasa khas yang akan melapor terus kepada Majlis Mara.

"Jawatankuasa khas ini juga akan memberi cadangan mana-mana anak syarikat yang akan dikekalkan atau sebaliknya pada tahun 2020," katanya.

Hasnita berkata, Mara telah berusaha untuk membangun dan mengurus perniagaan melalui penubuhan anak-anak syarikat.

Bagaimanapun menurutnya, beliau mengakui kekurangan kepakaran dalam bidang-bidang yang diceburi telah menyebabkan syarikat-syarikat tersebut mengalami kerugian yang berterusan.

"Beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti termasuk dalam aspek tadbir urus yang tidak sempurna, pemilihan sektor dan jenis pelaburan yang tidak tepat serta pengurusan dana yang tidak efektif," katanya.

Beliau berkata, Mara akan memberi fokus kepada pembangunan modal insan untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan dengan pemerkasaan institusi-institusi pendidikan Mara.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi keusahawanan, Mara melaksanakan program pembangunan keusahawanan bersama usahawan Bumiputera yang sedia mempunyai kepakaran dan kemahiran seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Mara merancang untuk melaksanakan pelaburan melalui Endowment Fund di mana Mara berperanan untuk menentukan sektor dan jenis pelaburan, membuat pemilihan pengurus dana pelaburan, memantau dan mengukur prestasi pengurus dana pelaburan," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian Mara, Hasnita berkata, kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi tahun ini melebihi 60 peratus dari golongan B40 dan bagi pengambilan 2020, Mara telah menerima lebih daripada 100 ribu permohonan.

"Bagi sektor keusahawanan, kami telah berjaya mempromosikan program-program yang berimpak tinggi seperti Gaya

Fest, Mara in Fashion, Hair in Trend (HIT) Barber, Gate to Global, ProSPEC dan sebagainya.

"Mara sentiasa komited untuk memastikan masyarakat Malaysia terutamanya bumiputera akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program-program pendidikan dan pembangunan keusahawanan Mara," katanya.