Empat teras pacu TLDM kekal cemerlang

Mohd Reza (tengah) beramah mesra bersama Persatuan Pesara TLDM selepas menyampaikan sumbangan cek pada Majlis Perutusan Ulung dan Amanat TLDM Tahun 2019 di Wisma Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
Mohd Reza (tengah) beramah mesra bersama Persatuan Pesara TLDM selepas menyampaikan sumbangan cek pada Majlis Perutusan Ulung dan Amanat TLDM Tahun 2019 di Wisma Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Panglima TLDM, Datuk Mohamad Reza Mohd Sany menggariskan empat teras utama bagi memastikan pasukan keselamatan itu kekal cemerlang dalam menjaga keselamatan perairan dan kedaulatan negara.

Beliau yang merupakan Panglima TLDM Ke-17 berkata, teras itu adalah Kesiapsiagaan Armada, membangun semula Armada TLDM, meningkatkan integrasi serta sokongan kepada aspek kebersamaan dan menyediakan modal insan terbaik.

“Bagi kesiapsiagaan Armada, jadual selenggaraan dan pasang pulih kapal-kapal yang ditetapkan dipatuhi tanpa kompromi.

“Menerusi teras membangun semula Armada TLDM, pihak kami akan memberi tumpuan kepada usaha memperoleh bot pemintas sebagai usaha memantapkan keupayaan untuk beroperasi di pesisir pantai khususnya di Timur Sabah,” katanya ketika menyampaikan Perintah Ulung di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Reza berkata menerusi teras ketiga, warga TLDM diminta menyuburkan budaya serta pemikiran yang cenderung ke arah kebersamaan dalam setiap aspek latihan, pentadbiran dan pelaksanaan operasi.

“Dengan itu, TLDM perlu berganding bahu dengan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Bagi teras menyediakan modal insan pula, kami ingin mempergiat usaha untuk meningkatkan jumlah warga TLDM yang mempunyai kelayakan akademik dan profesional sesuai dengan tuntutan tugas yang semakin kompleks,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua warga TLDM di setiap peringkat diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan, peraturan dan proses kerja dalam memastikan pasukan itu sentiasa bersiap sedia.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, 16 persatuan veteran TLDM menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM70,000 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka. - Bernama