ICERD agenda Freemason untuk hancurkan negara

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap ICERD adalah agenda Freemason
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap ICERD adalah agenda Freemason
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.

Tegasnya, ketetapan agama Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan tidak tersasul seperti teori Barat yang dibanggakan pengikutnya sehingga memelihara hak asasi binatang dengan melupakan hak asasi manusia.

“Kita sudah merasai betapa keamanan telah wujud di negara ini tanpa peduli terhadap perakus yang sentiasa mahu memuaskan hawa nafsunya sahaja sehingga mengganas dengan sifat fanatik yang melampau.

“Apa yang berlaku adanya kelemahan dalam aspek pelaksanaan boleh diselesaikan dengan cara kita tersendiri, tidak memerlukan kita mengubah perkara dasar.

“Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan dan hak beragama lain telah menjadi kontrak sosial yang sudah mencukupi mengikut nalurinya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD tidak perlu di Malaysia]

[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: PM kena jawab di Parlimen]

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan BN dulu tak pernah terima ICERD]

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, umat Islam wajib menolak konsep liberal yang menyamakan semua agama dan perlu memahami perbezaan antara menegakkan kebenaran terhadap agama masing-masing dan hak kebebasan menganut agama masing-masing.

Jelasnya, sifat semua penganut agama wajib percaya bahawa agamanya sahaja yang benar, bukan menganggap agama yang dianutinya sama sahaja dengan agama lain.

“Maka takrif diskriminasi, hak dan keadilan mengikut fahaman kita yang beragama Islam, bahkan semua yang beragama adalah berbeza dengan kalangan yang tidak beragama. Kita tetap berkeyakinan bahawa takrif kita adalah relevan sepanjang zaman.

“Adil mengikut takrif kita ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Maka amatlah wajar diletakkan hak istimewa kepada kaum tertentu bagi menampung kelemahan yang berlaku.

“Ia seperti memberikan hak istimewa kepada kaum Bumiputera kerana dipinggirkan pada zaman penjajah. Dalam masa sama, tanpa menafikan hak kaum lain yang masih banyak terbiar,” ujarnya.

Tegas Ahli Parlimen Marang itu lagi, ICERD harus disanggah dan ditentang bagi menyelamatkan kedaulatan umat dan negara.

“Mengiktiraf ICERD laksana menebuk lubang dinding rumah kita bagi memberi laluan kepada nyamuk Aedes masuk ke dalam rumah kerana hanya melihat pembiakannya daripada air yang bersih, tanpa menyedari terhadap bahayanya yang boleh membawa maut.

“Ini bukan sekadar menyelamatkan rumah yang kecil, tetapi menyelamatkan kedaulatan umat dan negara. Anggaplah mereka daripada kalangan yang membawa dan memperjuangkannya adalah petualang yang wajib disanggah dan ditentang,” katanya.