Usaha siasat jenayah perang di Palestin sudah lama tertangguh

Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada hari terakhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada hari terakhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebarang usaha​​​ untuk menyiasat dakwaan jenayah perang di wilayah Palestin sebenarnya sudah lama tertangguh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Israel seharusnya berdepan pengadilan berikutan kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

"Israel harus dibicarakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana membunuh orang, mencuri wilayah orang lain, membina penempatan di tanah orang lain. Semua ini adalah jenayah, " kata beliau pada sidang akhbar pada hari terakhir Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 di sini hari ini.

Perdana Menteri ketika ditanya mengenai laporan bahawa ICC bersedia menyiasat jenayah perang yang didakwa berlaku di wilayah Palestin.

Dr Mahathir, Pengerusi Sidang Kemuncak KL, berkata Israel telah menahan kapal misi kemanusiaan yang disertai warga Malaysia di perairan antarabangsa.

“Tak boleh buat begitu dalam kawasan perairan antarabangsa. Jika berada dalam kawasan perairan mereka, ya, mereka boleh ambil tindakan, tapi kita di kawasan perairan antarabangsa.

“Mereka datang dengan bot bersenjata, mereka tahan kapal kita, bawa ke pelabuhan mereka, dan sampai sekarang kita tidak tahu sama ada bantuan buat Gaza sampai atau tidak,” katanya dan menambah tindakan Israel itu turut mengakibatkan kematian.

“Tapi seluruh dunia bukan sahaja menutup sebelah mata, mereka menutup kedua-dua mata, tutup mulut mereka, dan telinga mereka juga,” kata Dr Mahathir yang memang terkenal dengan suara lantang mengecam keganasan Israel.

Artikel Berkaitan:

Penderitaan rakyat Palestin diketengahkan pada Sidang Kemuncak KL yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani.

Menjawab satu soalan berhubung sekatan, Dr Mahathir berkata, Malaysia secara umumnya tidak percaya dengan tindakan sedemikian kerana ia ​​​​turut memberi kesan kepada negara lain selain daripada negara yang disasarkan.

Mengambil contoh sekatan yang dikenakan terhadap Iran, Dr Mahathir berkata, Malaysia juga menerima kesan daripada tindakan itu kerana Iran adalah rakan dagang yang besar kepada negara.

“Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh sebuah negara yang berkuasa. Saya ingin mengenakan sekatan terhadap (Presiden Amerika) Trump, tapi tak boleh, sebab saya insan kerdil (tidak berkuasa), tapi dia boleh kenakan sekatan terhadap semua negara dan kita yang menderita,” katanya. - Bernama