Penjaja warga Kemboja kantoi tinggal lebih masa

Sebahagian penjaja warga asing yang ditahan dalam serbuan di lokasi, semalam. FOTO: JIM Terengganu
Sebahagian penjaja warga asing yang ditahan dalam serbuan di lokasi, semalam. FOTO: JIM Terengganu
A
A
A

BESUT - Seorang penjaja warga Kemboja tidak menyedari dia sedang melayan pelanggan yang juga anggota penguat kuasa dalam serbuan sempena Operasi Jaja jam 5 petang semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu dicekup selepas 'terperangkap' dengan helah anggota penguat kuasa itu di kawasan Pantai Peranginan Bukit Keluang, Kampung Raja.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu, Rahim Hanafi berkata, serbuan dilakukan sepasukan 18 anggota dan pegawai Imigresen yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan, Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh menyasarkan lokasi peranginan itu selepas menerima aduan awam berkaitan kebanjiran penjaja warga asing di sekitar itu.

"Kita turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX 5 Dream dan sebuah tong plastik aiskrim milik lelaki itu.

Anggota penguatkuasa sedang menjalankan pemeriksaan ke atas salah seorang penjaja warga asing di sekitar lokasi serbuan, semalam. Foto: JIM Terengganu
Anggota penguatkuasa sedang menjalankan pemeriksaan ke atas salah seorang penjaja warga asing di sekitar lokasi serbuan, semalam. Foto: JIM Terengganu

"Lelaki itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Rahim berkata, pihaknya turut memeriksa lapan lagi penjaja warga asing di lokasi sama serta sebuah kedai makan di Kuala Terengganu dalam Ops Bersepadu (Ops Jaja/ Selera) itu.

"Seramai 14 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu sembilan lelaki ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Artikel Berkaitan:

"Antara yang ditahan dikesan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial, Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah.

"Pihak kami juga mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada seorang majikan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.