X

Kindly register in order to view this article
!

Lima korban banjir di Kelantan

Anak-anak PDRM Kelantan yang menyertai kem motivasi bergambar kenangan bersama Hasanuddin dan Abdullah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan lima kematian akibat gelombang banjir pertama dan kedua di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, tiga kematian pada gelombang banjir pertama dan terbaru dua lagi menjadi mangsa.

Menurutnya, kesemua mangsa berusia lingkungan tujuh tahun hingga 64 tahun dan kejadian terbaharu berlaku di Meranti, Pasir Mas semalam melibatkan pemain alat muzik dikir barat berumur 24 tahun di Pasir Mas.

“Mangsa pertama melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun di Pasir Puteh. Polis mengklasifikasikan sebagai mati mengejut. Ada yang mengharung air dan kemungkinan arus terlalu kuat sehingga meragut nyawa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan penutup program Motivasi Anak-Anak PDRM Kontinjen Kelantan melibatkan 60 peserta.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negeri, Abdullah Mohammad Piah.

Hasanuddin turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko untuk berpindah awal ke pusat pemindahan sementara.

Katanya, polis menerima maklumat masih terdapat penduduk yang tidak mahu ke pusat pemindahan dengan pelbagai alasan termasuk bimbang kediaman dipecah masuk.

“Sehingga kini pihak polis tidak menerima sebarang laporan berkaitan pecah masuk rumah sepanjang banjir di negeri ini,” katanya.

Selain itu, Hasanuddin juga menyedari sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang masih menyebarkan gambar lama berkaitan banjir yang menimbulkan kebimbangan orang ramai.

“Jadi saya meminta tolong janganlah berbuat sedemikian. Perbuatan (tular) gambar semasa banjir 2014 boleh menyebabkan orang ramai gusar dan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Katanya, orang ramai diminta merujuk pihak polis untuk mengesahkan sebarang kejadian yang tular di media sosial supaya tidak menimbulkan suasana panik.

Hasanuddin turut memaklumkan setakat ini hanya dua balai yang terjejas akibat banjir iaitu Balai Polis Rantau Panjang dan Balai Polis Kuala Jambu.

“Bagaimanapun kita masih beroperasi seperti biasa cuma penduduk perlu mengharung air untuk membuat laporan. Penduduk juga boleh pergi ke balai berdekatan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus