Agong rasmi Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melakukan gimik perasmian selepas menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang, di Jalan Batu Gantung, Georgetown hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melakukan gimik perasmian selepas menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Pulau Pinang, di Jalan Batu Gantung, Georgetown hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Seri Paduka berdua diiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta isteri, Tan Lean Kee.

Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang yang terletak di Jalan Batu Gantung, di sini dibina pada 2012 dan siap sepenuhnya pada 2016 dengan kos sebanyak RM32 juta.

Dalam ucapannya, Al-Sultan Abdullah bertitah agar usaha meningkatkan dan penyebaran syiar Islam diteruskan dengan sistem yang cukup lengkap supaya Islam dapat menjadi agama yang dipandang tinggi, dicontohi serta dapat bekerjasama erat dengan agama-agama yang lain.

Baginda juga berharap jawatan ketua-ketua hakim syarie dan hakim-hakim di Mahkamah Syariah dipertingkatkan mengikut kelayakan.

"Kalau kita memperluas status Hakim Mahkamah Syariah ke tahap yang tinggi, saya percaya ramai yang berkumpul-kumpul untuk mendapatkan jawatan tersebut tetapi kalau kita mengehadkan jawatan-jawatan ini kepada tahap yang tidak begitu menarik, mungkin jawatan ini akan dianggap sebagai sambil lewa, jawatan yang tidak dapat menaikkan karier mereka sebagai seorang hakim," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam ucapannya turut berkongsi pengalaman bertemu dengan Archbishop of Canterbury, Justin Welby semasa lawatan khasnya ke United Kingdom baru-baru ini di mana pemimpin utama Gereja England itu melahirkan rasa bangga dengan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Antara yang kita bincang dan persetujui ialah supaya kita semua harus sentiasa dalam keadaan aman, sentiasa berharmoni dan tinggal dalam hormat menghormati kerana Malaysia sudah dilihat sebagai negara model di mana banyak agama dapat tinggal dalam keadaan cukup sempurna dan cukup harmoni," titah baginda. - Bernama

Artikel Berkaitan: