APMM rampas pukat pari

Anggota Maritim menarik pukat pari naik ke atas bot sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.
Anggota Maritim menarik pukat pari naik ke atas bot sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.
A
A
A

KUALA PERLIS - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis merampas peralatan menangkap ikan yang dipasang di perairan Kuala Perlis pada jarak lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat pantai Kuala Perlis di sini semalam.

Pengarahnya, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata, penemuan sebidang pukat pari itu hasil rondaan oleh bot peronda APMM yang melakukan Operasi Aman di perairan Perlis kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, pukat pari berkenaan dipasang di lokasi yang menjadi lubuk bagi mendapatkan hasil laut oleh nelayan tempatan.

"Modus operandi yang dilakukan oleh nelayan berkenaan ialah dengan meninggalkan pukat tersebut di lokasi tertentu dan hanya memungut hasil pada waktu pagi atau malam.

"Mata pukat itu berukuran 4 atau 8 inci turut disalahgunakan dan kebiasaan panjangnya ialah lebih kurang 6 meter setiap bidang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurulazme berkata, semua pukat pari tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Sementara itu katanya, pukat pari sudah lama diharamkan penggunaannya oleh kerajaan kerana boleh mengancam hidupan marin termasuk penyu dan pelaku boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

“Pihak Maritim akan terus membuat rondaan dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa untuk mencegah aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, pihaknya turut meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini dengan menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.