Warga Myanmar ditahan kes bunuh rakan

A
A

KUANTAN - Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar dipercayai terlibat dengan kes bunuh rakan senegaranya yang merupakan pekerja tapak semaian di Bera Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Datuk Othman Nayan berkata suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira dua jam setelah laporan dibuat berhubung penemuan mayat seorang lelaki oleh seorang lagi pekerja lain di tapak semaian itu pada pukul 4.30 pagi.

“Suspek sebelum itu merancang untuk keluar dari negara ini bersama-sama, namun rakannya itu tidak bersetuju dan berlaku pertengkaran. Akibat hilang sabar, suspek kemudian dipercayai menetak rakannya yang berusia 36 tahun menggunakan parang pada bahagian kepala dan leher.

"Suspek kemudian berjaya ditahan tidak dari tempat kejadian," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati, kedua-dua mereka baharu sahaja mula bekerja di tapak semaian berkenaan Oktober lalu, tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, dan pihak polis turut menahan majikan mereka mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja yang tidak memiliki dokumen tinggal secara sah dalam negara. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia