Laporan kepada CRC dalam peringkat akhir penyediaan

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang dalam peringkat akhir penyediaan laporan mengenai status hak kanak-kanak di Malaysia, untuk dihantar kepada Jawatankuasa Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata ‘The Second to Fifth CRC Country Report’ itu kemudian akan diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti, sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

“Laporan ini sudah lama kita tidak hantar, iaitu sejak kali pertama pada 2006. Jadi, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) telahpun memberikan arahan untuk kita sediakan laporan ini, dan dihantar pada tahun hadapan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hannah berkata, laporan kepada CRC itu yang perlu dihantar setiap lima tahun sekali, melibatkan input daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.

“Dengan adanya laporan ini nanti, saya berharap semua pihak dapat memahami isu berkaitan kanak-kanak, dengan lebih mendalam,” katanya.

Terdahulu, beliau menerima Laporan Status Hak Kanak-Kanak di Malaysia 2018 daripada Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM), yang akan turut dijadikan rujukan utama dalam memuktamadkan laporan kepada CRC.

Hannah menambah, isu hak kanak-kanak sememangnya menjadi antara keutamaan kerajaan, termasuk dalam pelaksanaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) di dalam kenderaan.

"Isu paling panas sekarang adalah isu ‘car seat’, dalam perbahasan kini ibu bapa bimbang terhadap harga, tetapi itu adalah hak kanak-kanak untuk dilindungi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hannah berkata, kementeriannya akan memfokuskan penambahan jumlah pegawai pelindung kanak-kanak di negara ini pada tahun depan, bagi menangani pelbagai isu berkaitan golongan berkenaan.

“Ini kerana pegawai pelindung kanak-kanak yang ada hanya sekitar lebih 200 orang, tetapi untuk populasi kanak-kanak sebanyak sembilan juta, kita sebenarnya memerlukan 1,500 pegawai. Oleh itu, penting supaya ia ditambah,” katanya.

Menurutnya, pelindung kanak-kanak memainkan peranan yang sangat penting, untuk membantu golongan tersebut mendapat perlindungan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata pihaknya dalam perancangan menubuhkan Majlis Perundingan Kanak-kanak (CCC), sebagai forum menyuarakan pendapat berhubung isu dan kebajikan kanak-kanak di negara ini. - Bernama