JKNJ keluar notis kepada peniaga degil

Dari kanan; Sahruddin, Amran dan Selahudeen ketika bertemu antara peniaga makanan di Plaza Larkin sambil mengedarkan risalah
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 1,431 notis amaran di tempat makan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) selepas penguatkuasaan larangan merokok di kawasan itu yang bermula 1 Januari.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, tempoh yang dicatatkan setakat Isnin lepas hingga jam 8 malam turut merekodkan sebanyak 3,470 premis dilawati.

"Dalam tempoh sama juga, sebanyak 6,154 risalah dan nasihat individu diberikan, manakala 445 bilangan premis tanpa tanda larangan merokok telah direkodkan.

"Sebanyak 35 notis di bawah Seksyen 32B dikeluarkan kerana gagal mematuhi peraturan.

"Dalam masa sama, penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di kawasan larangan merokok turut dipergiatkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Kempen Larangan Merokok Di Tempat Makanan Peringkat Johor di Plaza Larkin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahudeen Abd Aziz dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman.

Sahruddin berkata, berdasarkan laporan aktiviti penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau Pada Tahun 2018 mendapati sebanyak 10,441 notis di bawah Seksyen 32(B) dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Ia membabitkan nilai kompaun bernilai RM1.391 juta. Lima kesalahan tertinggi dikeluarkan menerusi notis itu iaitu merokok di tempat dilarang merokok (4,721), merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD) sebanyak 620 notis, penjualan rokok di bawah Harga Minimum (341).

"Selain itu, menjual atau memiliki rokok yang tidak dicetak imej amaran kesihatan (64) dan tidak mempamerkan tanda larangan menjual hasil tembakau kepada OBD (32)," katanya.

Ujarnya lagi, terdapat lima tempat mencatatkan larangan merokok yang yang teringgi mengikut notis 32(B) pada tahun lalu.

"Ini termasuklah kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam membabitkan 2,003 notis; kompleks membeli-belah (1,070); hospital atau klinik (474); taman awam (446) dan premis kerajaan iaitu 382 notis," katanya.

Berikutan itu, beliau menyeru semua pihak agar dapat berganding bahu dalam memastikan peraturan ini dapat dipatuhi.

Mengulas mengenai minggu pertama penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan, beliau menjawab mengikut pandangannya dilihat berkesan apabila tidak ada seorangpun merokok di kawasan larangan.

"Peniaga juga memaklumkan kepada pelanggan supaya tidak merokok di kawasan larangan. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk saling mengingati supaya tidak merokok di kawasan larangan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia