Parah diserang beruang di Gua Musang

 Seorang lelaki orang asli cedera parah apabila diserang seekor beruang ketika sedang mencari buah-buahan bersama seorang rakannya di kawasan hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim di sini, petang semalam. FOTO: Pembaca
Seorang lelaki orang asli cedera parah apabila diserang seekor beruang ketika sedang mencari buah-buahan bersama seorang rakannya di kawasan hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim di sini, petang semalam. FOTO: Pembaca
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki orang asli cedera parah di kepala, tangan kiri dan kaki kanan apabila diserang seekor beruang ketika sedang mencari buah-buahan bersama seorang rakannya di kawasan hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa, Husin Dollah Along, 35, dikatakan bergelut dengan beruang itu kira-kira 15 minit sebelum haiwan berkenaan beredar ke dalam hutan.

Rakan Husin, Asem Along, 32, yang terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu bertindak memapah mangsa pulang ke rumah.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) pada jam 10.10 pagi ini menerusi penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berlepas dari Pangkalan Subang pada 8.14 pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan untuk membawa keluar mangsa pada 3 petang semalam, namun tidak dapat berbuat demikian berikutan keadaan cuaca buruk.

Beliau berkata, penerbangan ihsan itu menggunakan kru Agusta A109E dan mendarat di Kampung Sempadik, Pos Belatim pada 9.30 pagi untuk membawa keluar mangsa sebelum mendarat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang pada jam 10.10 pagi tadi.

“Pesakit berada dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Asem berkata, beliau dan Husin masuk ke kawasan hutan kira-kira jam 11 pagi semalam sebelum bertembung dengan beruang itu pada jam 1 pagi.

Artikel Berkaitan:

“Haiwan itu muncul secara tiba-tiba dan menyerang Husin. Saya cuba menikam beruang itu dengan sebilah golok sebelum haiwan tersebut beredar.

“Saya kerap memasuki kawasan hutan itu, namun tidak pernah bertembung dengan binatang buas sebelum ini. Saya membawa pulang Husin yang cedera ke kampung dan menghubungi agensi terbabit berkaitan kejadian tersebut,” katanya. - Bernama