Terengganu dijangka berdepan enam gelombang banjir

Keadaan jalan ditenggelami air ketika fasa ketiga banjir di Hulu Terengganu.
Keadaan jalan ditenggelami air ketika fasa ketiga banjir di Hulu Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir gelombang keempat yang berlaku sejak petang kelmarin berakhir apabila kesemua lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Hulu Terengganu dan Dungun semalam ditutup sepenuhnya pagi tadi.

Bagaimanapun penduduk masih perlu berjaga-jaga kerana Terengganu diramalkan mengalami enam episod banjir atau lebih daripada jangkaan.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, penutupan PPS terakhir melibatkan sebuah PPS di Kampung Minda, Dungun.

"Penutupan PPS terakhir di Dungun pagi tadi menunjukkan bencana banjir fasa empat telah selesai ditamatkan operasi.

"Banjir fasa atau gelombang keempat melibatkan dua daerah iaitu Dungun dan Hulu Terengganu dengan jumlah keseluruhan mangsa seramai 129 orang," katanya.

Beliau berkata, keadaan cuaca diramalkan dalam tempoh 'bertenang' berdasarkan tiada amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia sehingga 25 Disember ini.

"Setakat ini sehingga 25 Disember nanti belum ada sebarang amaran cuaca buruk dikeluarkan.

"Bagaimanapun kita sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan memandangkan masih berada dalam musim monsun timur laut," katanya.

Gelombang pertama banjir berlaku di Hulu Terengganu pada pada 13 hingga 14 November lalu melibatkan 33 mangsa dari Kampung Cheting.

Artikel Berkaitan:

Fasa kedua pula berlaku di daerah Marang pada 22 hingga 23 November (35 mangsa) dan daerah Kemaman pada 22 hingga 24 November (304 mangsa).

Fasa atau gelombang ketiga banjir di Terengganu pula telah bermula pada 29 November lalu dan berakhir pada 7 Disember dengan catatan jumlah mangsa paling tinggi seramai 6,028 pada 2 Disember.