Pakistan dakwa India cabut pagar di sempadan Kashmir

Pagar di sepanjang LoC yang memisahkan Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan dan India.
Pagar di sepanjang LoC yang memisahkan Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan dan India.
A
A
A

ISLAMABAD - Kementerian Luar Pakistan semalam mendakwa India telah mengalihkan pagar di beberapa kawasan sepanjang Garisan Kawalan (LoC), sempadan de facto memisahkan Kashmir yang ditadbir kedua-dua negara.

Menerusi kenyataan video oleh Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi, pihaknya telah mengenal pasti lima kawasan yang dimaksudkan.

"Apa motif di sebalik tindakan mereka? Adakah mereka tersilap? Kami amat prihatin dengan situasi ini," kata Qureshi.

Kenyataan Qureshi muncul sehari selepas Ketua Tentera India, Bipin Rawat mengeluarkan amaran bahawa ketegangan di sepanjang LoC boleh meletus pada bila-bila masa dan berkata, tenteranya sudah bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.

Jurucakap tentera Pakistan, Jeneral Mejar Asid Ghafoor menyifatkan kenyataan dibuat Rawat berbaur provokatif.

"Kenyataan provokatif dan persiapan sepanjang LoC oleh India adalah sebahagian daripada usaha negara itu untuk mengalihkan perhatian dunia terhadap protes terhadap Akta Pindaan Kerakyatan (CAB) yang berlaku di sana," katanya.

CAB diluluskan Parlimen India Rabu lalu membolehkan kerakyatan diberi kepada jutaan pendatang haram Hindu, Sikh, Jain dan Kristian dari Pakistan, Afghanistan dan Bangladesh kecuali beragama Islam yang memasuki India pada atau sebelum 31 Disember 2014. -Agensi

Artikel Berkaitan: