Khutbah sentuh aspek perpaduan ummah

Dr Mahathir (tiga dari kanan) bersama delegasi negara terlibat menunaikan solat Jumaat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Bernama
Dr Mahathir (tiga dari kanan) bersama delegasi negara terlibat menunaikan solat Jumaat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peserta Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 menunaikan solat Jumaat dengan khutbah yang disampaikan antara lain menekankan aspek perpaduan sebagai kunci utama untuk ummah kembali bangkit.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika menyampaikan khutbah khas sempena persidangan itu berkata, bilangan yang ramai tidak akan menjamin apa-apa sekiranya tidak bersatu.

Beliau turut mengingatkan bahawa perpecahan dan pergaduhan sesama umat Islam hanya akan membawa kerugian.

“(Ini) kerana kita tidak berhadapan dengan musuh yang kuat, sebaliknya kesatuan kita yang semakin lemah,” katanya pada khutbah dan solat Jumaat yang turut menyaksikan kehadiran Perdana Menteri dan juga Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Solat Jumaat yang diadakan di sebuah dewan khas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini dipimpin Imam Masjid Ara Damansara, Mohd Shukri Ali.

Zulkifli seterusnya menarik perhatian bahawa tamadun sesuatu ummah tidak akan runtuh melainkan dengan kewujudan masalah dalaman.

“Isu-isu ini perlu diselesaikan, seiring dengan usaha perubahan secara holistik,” katanya dalam khutbah khas itu.

Mengakhiri khutbah, Zulkifli yakin bahawa kehadiran beberapa pemimpin dunia Islam dalam sidang kemuncak itu bakal menjadi pencetus kepada anjakan paradigma perubahan kebangkitan kembali ummah secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Sidang kemuncak empat hari itu berakhir hari ini.- Bernama