Suami isteri tak mengaku dera amah hingga buta

Chandru (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Chandru (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas tiga pertuduhan mengeksploitasi pengabdian dan mencederakan pembantu rumah warga Indonesia hingga buta.

Bagaimanapun tertuduh, V Chandru, 35 dan isterinya, J Jayamalar, 36, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Jayamalar didakwa telah memperdagangkan wanita warga Indonesia berusia 29 tahun bagi maksud eksploitasi pengabdian dengan cara menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain.

Dia didakwa mengikut Seksyen 13 Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Suri rumah itu turut didakwa menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa dan pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Chandru didakwa telah memperdagangkan mangsa bagi maksud eksploitasi pengabdian.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Kledang Emas, di sini dari 2011 hingga 20 Oktober 2019.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah telah memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh diserahkan ke mahkamah selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua minggu.

Azman turut mengingatkan tertuduh untuk mematuhi syarat-syarat tambahan itu dan jika gagal, mahkamah boleh membatalkan jaminan diberikan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab Wahab, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Matthews Jude.

ARTIKEL BERKAITAN Dera amah sampai buta, reman suami isteri dilanjutkan