Rasuah gugat integriti kakitangan awam

No Image Caption
A
A
A

AMAT membimbangkan apabila separuh daripada kes rasuah di negara ini membabitkan penjawat awam dan golongan muda berumur 40 tahun ke bawah.

Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan sebanyak 46.3 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan dari tahun 2014 hingga Jun tahun ini ialah kakitangan awam.

Sementara 53.4 peratus daripada 4,860 individu yang ditahan SPRM bagi tempoh sama ialah golongan muda yang berusia 40 tahun ke bawah.

Sudah pasti perkara itu amat membimbangkan kita. Apa akan terjadi kepada negara jika jenayah rasuah ini tidak dibendung pada peringkat awal?

Masalah itu mesti diperbetulkan agar rasuah dalam kalangan penjawat awam dapat dihapuskan kerana ia mampu menggugat integriti.

Malaysia berada di tangga ke-61 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah 2018 yang dikeluarkan Transparency International berbanding ke-62 pada tahun sebelumnya.

Isunya bukan sebab gaji kecil atau kesempitan hidup tetapi sikap tamak seseorang itu yang suka mengambil kesempatan. Sekiranya kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,800 sekalipun, rasuah tetap berlaku sekiranya tiada integriti.

Rasuah merupakan ‘ibu’ kepada segala jenayah. Disebabkan rasuah, banyak jenayah lain seperti pendatang tanpa izin, penyeludupan dan pengedaran dadah dan sebagainya akan meningkat sekali gus boleh menjahanamkan negara.

Artikel Berkaitan:

Rasuah bukan sahaja dalam bentuk wang tunai tetapi pakej lain seperti hiburan contoh bermain golf dan seks, pergi kelab malam dan pusat karaoke, melancong ke luar negara dengan business class satu keluarga pergi atas urusan tender dan sebagainya.

Selain hukuman berat yang wajar dikenakan terhadap penerima dan pemberi rasuah, perkara utama perlu dilakukan adalah menyemai budaya benci rasuah pada peringkat awal lagi.

Nilai dan integriti murni harus ditanam dalam kalangan generasi muda ketika mereka masih bersekolah bagi membolehkannya membantu membentuk budaya kejujuran sehingga menjadi cara hidup pemimpin masa depan. Usaha itu perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh.

Usaha sebegini sememangnya memakan masa tetapi perlu dimulakan daripada sekarang untuk melahirkan sebuah masyarakat berintegriti dan terpuji.