X

Kindly register in order to view this article
!

RM22 juta belanja urusan bencana, bantuan rakyat

Dari kiri, Wan Rosdy, Fakhruddin dan Mohd Johari ketika sidang media.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang membelanjakan RM22,356,523.99 bagi tujuan perbelanjaan pengurusan bencana dan bantuan rakyat tahun ini.

Menteri Besarnya, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, sejumlah RM363,700 diperuntukkan bulan ini bagi tujuan sama.

Menurutnya, peruntukan tersebut meliputi sumbangan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) bencana, bantuan rakyat sakit, baik pulih rumah dan dana pembelajaran di bawah Pejabat Menteri Besar Pahang.

"Peruntukan tersebut dikeluarkan di bawah Pejabat Menteri Besar Pahang sesuai keupayaan negeri pada masa ini. Ia diluluskan bagi tujuan pergerakan sukarelawan, majlis dan acara berkaitan.

"Ini adalah duit kerajaan negeri yang perlu dibelanjakan dengan teliti. Mereka atau NGO yang mendapat peruntukan adalah mereka yang benar-benar berkelayakan," katanya pada sidang media pelancaran Skuad Bencana Pahang Darul Makmur di perkarangan Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Pada program tersebut, seramai 421 individu mendaftar sebagai sukarelawan skuad.

Wan Rosdy berkata, Skuad Bencana Pahang Darul Makmur ditubuhkan bagi menyelaras 48 pertubuhan sukarelawan bencana di negeri ini agar lebih teratur, sistematik dan strategik dari segi pengurusan dan pergerakan bantuan ketika bencana.

Bagaimanapun katanya, ia tidak akan mengganggu tugasan pasukan penyelamat sedia ada, sebaliknya sekadar membantu dan menyokong pasukan tersebut.

Hadir sama, Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Ahahaniza Shamsuddin; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain; Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda dan Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Mengulas lanjut Wan Rosdy berkata, idea penubuhan Skuad Bencana Negeri Pahang ini juga menunjukkan sikap toleransi rakyat negeri ini yang wajar dibanggakan.

"Begitu pun Skuad Bencana perlu bersedia hadapi bencana dengan mempersiapkan diri dari segi pengetahuan umum kaedah menyelamat.

"Jangan sampai anda ke Rompin nak selamatkan orang lain tapi anda pula yang diselamatkan oleh orang lain. Maksudnya kena tahu limitasi sendiri. Kena seimbangkan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!