Ditahan SPRM: TLDM beri kerjasama penuh

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perutusan Ulung dan Amanat TLDM Tahun 2019 di Wisma Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perutusan Ulung dan Amanat TLDM Tahun 2019 di Wisma Pertahanan, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap dua pegawainya yang ditahan di Langkawi, semalam.

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Mohamad Reza Mohd Sany berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan aktiviti salah laku dalam kalangan anggotanya.

Katanya, mana-mana pegawai dan anggota TLDM yang terlibat kegiatan rasuah atau salah guna kuasa boleh dikenakan tindakan buang kerja.

“Buat masa ini, saya tidak mahu buat sebarang spekulasi berhubung kes ini, ianya masih dalam siasatan.

“TLDM tunggu siasatan SPRM selesai (dahulu) dan baru lihat apa tindakan yang akan dikenakan (terhadap dua pegawai itu),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Perintah Ulung di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Hari ini, Bernama melaporkan dua pegawai TLDM dan seorang kontraktor direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu untuk bekalan langsir bernilai lebih RM60,000 di Langkawi, Ogos tahun lepas.

Jurucakap SPRM berkata dua pegawai berusia 50 tahun berkenaan didakwa bersubahat dengan kontraktor berusia 54 tahun itu, dalam mengemukakan invois palsu berhubung kerja pembekalan 122 unit langsir pasang siap di Blok RK TLDM Puncak Lang Langkawi, berjumlah RM64,776.

Difahamkan, kedua-dua pegawai TLDM itu masing-masing berusia 50 tahun memegang jawatan sebagai Kapten Kapal dan Komander (Pegawai Pemerintah).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seramai 16 persatuan veteran TLDM menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM70,000 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka. - Bernama