TVET resipi kelangsungan hidup

A
A
A

ADA suasana yang mencemaskan penulis pada Isnin lalu apabila menerima WhatsApp ringkas daripada beberapa sahabat penulis di Berita Harian.

Pesanan ringkas tetapi amat mengecewakan kerana sahabat tersebut diberhentikan perkhidmatannya selepas 25 tahun bekerja. Di celah kekecewaan itu, sahabat tersebut sempat menitipkan sebuah artikel berkaitan istilah amae yang membelenggu kehidupan rakyat Jepun.

Malah, sahabat tersebut juga sempat meluangkan masa untuk merakam pengalaman penulis mengadakan TVET Junior Camp di kawasan kampung berdekatan Banting, Selangor. Setelah mengamati artikel berkaitan amae itu, penulis bersetuju dengan beberapa rumusan yang dikemukakan.

Sepanjang dua hari mengadakan TVET Junior Camp, penulis mendapati remaja yang menghadiri kem berkenaan tidak mempunyai bakat untuk menjadi seorang tukang kayu terkemuka atau menjadikan tukang elektrik sebagai satu kerjaya yang bergaji besar.

Ada yang kekok memegang penukul. Ada yang tidak pernah melihat paku. Hakikat itu amat memilukan pada saat Malaysia kekurangan 150,000 jurutera berkemahiran tinggi.

Penulis juga masih ingat lagi kata-kata Profesor Minoru Hayase ketika baru berada di Tokyo mengikuti pengajian sarjana dalam bidang penyelidikan Kejuruteraan Automasi dan Robotik di Tokyo University of Agriculture and Technology (TUAT) selama dua tahun bermula 1989.

Beliau mengingatkan penulis agar bijak memilih kawan pelajar generasi muda Jepun yang disifatkannya memiliki sifat keegoan keterlaluan sehingga menjejaskan pencapaian akademik dan kerja penyelidikan. Tidak hairanlah kalau laporan BBC Future menggariskan amae ialah tingkah laku dan perwatakan anak-anak yang diwarisi daripada sifat ibu bapa.

Kajian metodologi amae turut menyentuh tentang sikap anak-anak Jepun yang terlalu bergantung kepada persekitaran sekeliling terutama ibu bapa terhadap sesuatu perkara atau kerja yang sepatutnya mereka boleh lakukan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Pakar psikoanalisis Universiti Jepun, Profesor Takeo Doi dalam bukunya terlaris di pasaran bertajuk The Anatomy of Dependance menyatakan hasil kajian beliau terhadap perbandingan jiwa orang Jepun yang dahagakan cinta dan kasih sayang daripada insan lain di sekelilingnya. Kajian itu dibuat perbandingan dengan perwatakan orang Amerika ketika menuntut dalam bidang psikiatri di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1950.

Proses belajar

Konsep amae menjadi sinar inspirasi dan kesedaran baru kepada masyarakat Jepun. Ia dipercikkan ketika Jepun melakukan persiapan Olimpik Tokyo 2020 terutama kepada generasi muda yang mahu mengembalikan kemahiran teknologi sejak ditenggelami oleh kepantasan kemajuan China pada era Revolusi Industri 4.0 (IR4).

Penulis agak bertuah kerana mewarisi bakat bertukang yang diajar bapa ketika kecil. Kemahiran itu membolehkan penulis menguasai pertukangan kayu, kemahiran lakaran, lukisan kejuruteraan sehingga membuat sendiri gajet berasaskan kayu. Bakat itu penulis perturunkan kepada sekumpulan anak-anak remaja secara demo-do-practice ketika mengadakan TVET Junior Camp.

Namun penulis agak terperanjat kerana ada juga beberapa remaja mempunyai bakat tersembunyi yang sekiranya dipupuk pasti kita boleh melahirkan jurutera tempatan berkemahiran tinggi.

Justeru, penulis mencadangkan agar kerajaan segera memperbanyakkan TVET Junior Camp sebagaimana dilaksanakan oleh penulis yang terpanggil untuk berbuat demikian selepas terbabit secara langsung dalam projek kerajaan Selangor yang dinamakan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS).

Penulis mendapati memiliki serba sedikit kemahiran TVET boleh memastikan mereka yang diberhentikan secara mendadak agar tidak cemas demi kelangsungan hidup.

Misalnya, sahabat penulis itu secara kebetulan memiliki kemahiran membaiki paip. Penulis telah mencadangkan beliau agar menjadikan kerja membaiki paip sebagai kerjaya baharu.

Kesimpulannya, pendidikan dan pembelajaran kemahiran tinggi perlu melalui tauladan daripada insan yang lebih awal menimba pengalaman atau orang yang lebih ilmunya.

Kalau baik tauladan itu, baiklah generasi seterusnya. Penulis berikrar akan mengadakan TVET Junior Camp pada setiap musim cuti persekolahan sebagai sumbangan kepada pembentukan jurutera berkemahiran tinggi di negara ini.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)