Kebakaran teruk, New South Wales di Australia isytihar darurat

Ini adalah kali pertama darurat diisytihar di NSW sejak 2013.
Ini adalah kali pertama darurat diisytihar di NSW sejak 2013.
A
A
A

SYDNEY - Kerajaan New South Wales (NSW) Australia hari ini mengisytiharkan darurat berikutan kebakaran belukar di negeri itu dijangka bertambah buruk.

Agensi berita Xinhua melaporkan, langkah itu bagi membolehkan Pesuruhjaya Perkhidmatan Luar Bandar (RFS) Shane Fitzsimmons menjalankan tugasan untuk melindungi nyawa manusia dan harta benda dalam tempoh tujuh hari.

"Keputusan mengisytiharkan darurat bukan diambil mudah. Ia dibuat apabila keadaan benar-benar memerlukan dan mengikut nasihat pakar.

"Langkah itu bagi memastikan negeri ini dapat bertindak balas dengan baik. Kebimbangan utama kami ialah apa yang akan berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang," kata Ketua Menteri NSW Gladys Berejiklian kepada wartawan di Sydney.

Ia adalah kali pertama darurat diisytihar di NSW sejak 2013.

Setakat ini enam orang maut dalam kebakaran belukar dan hampir 800 rumah musnah.

Dengan kira-kira tiga juta hektar kawasan belukar kini terbakar, dikhuatiri gelombang panas yang berlaku dari Khamis hingga Sabtu akan memburukkan lagi keadaan.

Berdepan situasi yang diramal sebagai hari paling panas pernah direkodkan, dengan purata suhu maksimum purata di seluruh negara melebihi 40.9 darjah celcius, RFS menjangkakan ancaman kebakaran yang lebih besar.- Bernama

Artikel Berkaitan: