X

Kindly register in order to view this article
!

MOF komited reformasi pentadbiran kewangan negara, bebas kleptokrasi

Guan Eng. - Foto: Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan (MOF) terus komited dengan agenda mereformasikan pentadbiran kewangan negara sepanjang 2019, sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara bebas kleptokrasi.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dalaman dan luaran, MOF sentiasa memastikan sistem pentadbiran kewangan negara cekap, berwibawa dan telus agar ekonomi negara terus mampan dan berdaya saing.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, 2019 bukan tahun yang mudah, namun dengan kerjasama berpasukan diberikan oleh kementerian lain telah memudahkan kerajaan Pakatan Harapan secara keseluruhannya mengecapi pelbagai kejayaan besar.

Beliau berkata, antara kejayaan ketara yang dikecapi kerajaan tahun ini ialah bayaran tuntutan balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), proses kelulusan permohonan pelaburan yang lebih cepat, pelaksanaan sistem tender terbuka, pengurangan harga minyak petrol, serta Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam).

“Kita jalankan asas perakaunan dari wang tunai (sehingga) kepada akruan, kita juga tubuhkan jawatankuasa untuk memantau hutang bukan sekadar dalam MOF, bahkan turut melibatkan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Kita pastikan bahawa reformasi institusi (berlaku) dengan menjalankan pindaan perundangan supaya apa yang menjadikan Malaysia kleptokrasi tidak akan berulang lagi,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas baru-baru ini.

Janji manifesto untuk memansuhkan GST dianggap tertunai apabila cukai pada kadar sifar peratus dilaksanakan pada hari ke-23 kerajaan PH (Pakatan Harapan) mengambil alih pentadbiran negara dan digantikan dengan SST yang dilaksanakan mulai 1 September 2018.

Guan Eng sebelum ini berkata, kerajaan PH akan mengembalikan tuntutan GST berjumlah RM19.4 bilion melibatkan 121,429 syarikat termasuk dalam kalangan konglomerat terbesar di Malaysia seperti Petronas, Shell dan Tenaga Nasional Bhd yang gagal di sempurnakan sewaktu pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Sehingga 3 Mac, sejumlah RM4 bilion tuntutan balik GST sudah dibayar membabitkan 54,603 akaun berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, manakala bayaran balik cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri pula mencecah RM3.9 bilion setakat 28 Februari lalu.

Jumlah pulangan cukai pendapatan tersebut melibatkan 75,776 tuntutan yang merangkumi 38,104 kes syarikat dan 37,672 kes bukan syarikat.

Dalam pada itu, Lim berkata kejayaan lain yang membanggakan adalah keupayaan meyakinkan agensi penarafan antarabangsa untuk mengekalkan penarafan kredit Malaysia walaupun unjuran kadar pertumbuhan negara diturunkan.

Katanya, pengekalan penarafan kredit A- (Standard & Poor's dan Fitch) atau A3 (Moody's Investors Service) adalah satu pengiktirafan apabila kerajaan baharu berjaya menangani dan mengurus ekonomi dengan baik di tengah-tengah kedudukan fiskal yang mencabar.

“Kerajaan terdahulu banyak tutup perkara yang tidak baik, termasuk melaksanakan GST tetapi kita (PH) telah mansuhkan semuanya, malah mengutip kutip cukai yang tidak membebankan rakyat.

“Sungguh pun hasil kerajaan berkurangan, berhadapan keadaan ekonomi global yang mencabar terpaksa menanggung hutang-hutang sebelum ini termasuk 1Malaysia Development Bhd, namun mereka (firma penarafan) masih yakin terhadap pengurusan ekonomi Malaysia dengan kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir,” tegas beliau.

Guan Eng berkata, kerajaan PH mewarisi masalah kewangan dan hutang yang ditinggalkan oleh BN, yang mencacatkan usaha Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020.

Bagaimanapun, beliau yakin dengan proses pemulihan fiskal dan kewangan yang dijalankan oleh PH mampu meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara maju. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!