Malaysia kongsi pengalaman pembangunan kepada antarabangsa

Dr Mahathir menyampaikan ucapan dalam Sesi Meja Bulat dan Perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan ucapan dalam Sesi Meja Bulat dan Perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berkongsi pengalaman pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mengenai usaha menjadikan pembangunan sebagai keutamaan bagi memastikan kemampanan kemakmuran negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara usaha tersebut adalah cetusan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu satu dokumen yang menggariskan perancangan 10 tahun unruk memperbaiki struktur semula ekonomi Malaysia dengan mengetengahkan ekonomi berasaskan pengetahuan agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Beliau menegaskan sebarang pembangunan yang dirancang kerajaan kini tidak lagi tertumpu kepada keuntungan ekonomi semata-mata sebaliknya perlu selaras dengan modal insan dan pemeliharaan alam sekitar.

"Blueprint ini merupakan komitmen Malaysia untuk menjadi sebuah tanah air yang mencapai keseimbangan pembangunan yang adil sama ada merangkumi semua golongan pendapatan, etnik rantau dan rantai bekalan.

"Ia juga satu langkah komitmen bagi memastikan kestabilan politik, meningkatkan kemakmuran negara dan memastikan rakyat bersatu padu meraikan kepelbagaian etnik dan budaya," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Sesi Meja Bulat dan Perbincangan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengakui kemajuan teknologi antara cabaran besar Malaysia hari ini kerana ia berkembang terlalu pantas sekali gus menuntut persediaan pada masa depan.

Beliau menjelaskan, kecanggihan teknologi menyebabkan beberapa segmen tenaga kerja masa kini dilihat tidak relevan.

"Dalam konteks itu, terdapat dua cabaran iaitu menghasilkan strategi pembangunan dan kedua, memastikan ia terus ditingkatkan supaya terus relevan apabila teknologi baharu muncul.

Artikel Berkaitan:

"Di Malaysia, untuk menangani Revolusi Industri Keempat, pada tahun lepas, kami melancarkan satu dasar kebangsaan yang tertumpu kepada digital bagi mengubah sektor perkilangan Malaysia dan perkhidmatan berkaitan.

"Polisi ini membayangkan Malaysia sebagai rakan strategik untuk pembuatan pintar menjadi destinasi teknologi tinggi dan penyedia penyelesaian bagi sektor perkilangan di rantau ini," katanya.

Dr Mahathir mengingatkan kepada seluruh masyarakat Islam untuk bekerja keras mengejar kemajuan agar mereka tidak ketinggalan sehingga terpaksa bergantung kepada teknologi bukan Islam.

"Kemajuan teknologi mereka telah mendahului umat Islam dan akhirnya kita yang perlu sesuaikan diri dengan dengan teknologi mereka," katanya.