Pesara tentera runsing tiada MyKad

Justan menunjukkan kad pengenalan tentera
Justan menunjukkan kad pengenalan tentera
A
A
A

KANGAR - Seorang pesara tentera hanya menggunakan dokumen pengenalan diri, MyTentera yang menjadi bukti setiap kali melakukan urusan rasmi sepanjang tiga tahun ini ekoran tidak memiliki kad pengenalan.

Pesara Staff Sarjan Justan Latahang, 44 berkata, hidupnya menjadi sangat rumit sejak bersara pada Oktober 2016.

Bapa kepada tiga anak berusia 5 hingga 13 tahun itu mendakwa, kelahirannya didaftarkan di Tawau, Sabah dan selepas berpencen, urusan mendapatkan MyKad berdepan kesulitan apabila nombor siri di surat beranaknya dikatakan sama dengan individu lain yang tidak dikenali.

"Hanya saya yang mengalami masalah ini sedangkan lima lagi adik-beradiknya di Tawau mempunyai Mykad," katanya.

Kata Justan, dia berkhidmat selama 22 tahun di dalam ATM dan perkhidmatan terakhirnya di Batalion ke 4, Rejimen Renjer Diraja Kem Oran, Kangar.

"Meskipun mempunyai masalah dalam urusan mendapatkan MyKad, saya bersyukur kerana masih menerima pencen sehingga kini.

"Bagaimanapun saya tidak pasti nasib diri pada masa depan dan agak bimbang jika bayaran pencen berkenaan diberhentikan," katanya.

Kad pengenalan tentera milik Justan
Kad pengenalan tentera milik Justan

Artikel Berkaitan:

Menurut Justan, dia berusaha untuk mendapatkan pekerjaan kerana bimbang pencen ditarik semula namun gagal.

“Masalahnya sekarang kesusahan saya mengenai pekerjaan. Saya masih sihat dan boleh bekerja namun masalah ini menjadi halangan," katanya.

Selain itu katanya, dia sukar mendaftarkan persekolahan anak-anak kerana perlu menjawab pertanyaan guru dan malu untuk memberi penjelasan.

Sepanjang tempoh tiga tahun ini, Justan sudah dua kali berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah selain membuat dua kali rayuan di Kementerian Pertahanan namun proses tersebut masih berlarutan sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Justan berharap agar pihak bertanggungjawab terutama Kementerian Pertahanan dapat membantu memudahkan proses mendapatkan semula MyKad itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Zon Utara, Mejar Mohamad Rozali Abdul Rahman yang dihubungi meminta pesara itu membuat semakan di Jabatan Rekod dan Pencen, Kementerian Pertahanan bagi tindakan lanjut.