ADUN Kota Anggerik mohon maaf

Sijil tular tertera gambar Rina yang menerima pelbagai kecaman sejak beberapa hari lalu.
Sijil tular tertera gambar Rina yang menerima pelbagai kecaman sejak beberapa hari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi memohon maaf di atas kekhilafannya terhadap isu sijil ucapan tahniah memaparkan gambar Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Najwan sebelum ini mendakwa tangkap layar itu adalah sijil graduasi dan peletakan gambar menteri dalam sijil tersebut dianggap keterlaluan serta tidak wajar.

Beliau dalam status di Facebook miliknya semalam mendakwa tiada keperluan untuk gambar menteri dipaparkan di sijil graduasi sekali gus mempromosinya di media sosial.

“Hentikanlah budaya seumpama ini. Ada banyak lagi kaedah yang lebih munasabah buat menteri atau mana-mana ahli politik untuk promosikan diri,” tulisnya.

Bagaimanapun, Najwan menerusi satu lagi status yang dimuat naik memohon maaf atas kesilapannya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan lampiran tangkap layar yang tular itu bukanlah sijil graduasi seperti yang didakwa sebelum ini namun ia adalah kad ucapan.

“Saya pohon maaf atas kekhilafan. Lampiran tangkap layar dalam ciapan ini bukanlah sijil graduasi tapi dimaklumkan adalah kad ucapan tahniah.

“Namun pandangan saya tetap sama. Ada banyak lagi kaedah yang lebih munasabah buat menteri atau mana-mana ahli politik untuk promosikan diri,” tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Rina menerusi akaun Facebooknya menjelaskan tangkap layar yang tular itu bukan sijil penghargaan yang diberikan kepada pelajar terpilih ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebaliknya kad ucapan tahniah kepada yang berjaya.

Menurutnya, beliau akan terus memastikan pelajar cemerlang daripada keluarga B40 diberikan keutamaan untuk mendapatkan tempat di MRSM.

“Kepada yang berjaya, tahniah sekali lagi saya ucapkan. Manfaatkan peluang yang ada di MRSM sebaiknya agar menjadi modal insan yang mampu berbakti kepada keluarga, bangsa dan negara pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, tular sekeping gambar dengan tandatangan Rina di atas sekeping sijil berserta kata-kata ucapan tahniah.

Gambar itu menerima pelbagai reaksi berikutan ia didakwa sebagai sijil graduasi dan sijil penghargaan kepada pelajar yang berjaya memasuki MRSM.

Gambar tersebut turut memaparkan nama akaun media sosial milik Rina termasuk akaun Facebook, Instagram dan laman Twitternya.