Najib tak tahu baki wang dalam tiga akaun Ambank

Najib (tengah) ketika berada di luar mahkamah selepas prosiding bela diri dalam kes skandal SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib (tengah) ketika berada di luar mahkamah selepas prosiding bela diri dalam kes skandal SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak pernah mengetahui baki sebenar dalam tiga akaun Ambank miliknya kecuali jika dimaklumkan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Kenyataan itu dikeluarkan Najib ketika sesi soal balas Pendakwa Raya, V. Sithambaram di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib menegaskan beliau mempunyai keyakinan dan merasakan mempunyai sejumlah wang yang cukup dalam tiga akaun bank itu sebelum menandatangani cek bernilai jutaan ringgit.

Sithambaram: Ketika berada di Pejabat Perdana Menteri anda semak akaun anda dengan bekas Ketua Setiausaha Sulit. Di rumah anda, dengan siapa pula anda semak?

Najib: Saya tidak semak dengan sesiapa di rumah tetapi dapat rasa ada wang yang cukup di bank.

Sithambaram berkata, beliau mendapati ada situasi pelik berhubung isu pengeluaran cek apabila pemilik akaun tidak mengetahui bakinya.

Sithambaram: Bagaimana perkara ini diuruskan, Anda tidak merasa pelik apabila anda tidak tahu baki dalam akaun?

Najib: Saya rasa ada wang yang ada cukup. Ia adalah tugas mereka iaitu Azlin dan bekas Pengurus Besar SRC, Nik Faisal Ariff untuk memastikan wang cukup.

Artikel Berkaitan:

Semasa pemeriksaan balas juga, Sithambaram cuba mengusik Najib dalam keadaan bergurau dan menyatakan kepada bekas perdana menteri itu beliau seorang yang cermat sehingga sedar ada coklat yang hilang apabila polis menyerbu rumahnya sebelum ini.

Sithambaram: Datuk Seri, anda seorang yang cermat dengan wang atau dana kerajaan.

Najib: Saya tidak begitu beri perhatian.

Sithambaram: Saya tidak bermaksud untuk tidak hormat, tetapi saya keliru. Saya masih ingat apabila polis melakukan beberapa serbuan di rumah anda, anda sebenarnya mengadu bahawa ada coklat hilang?

ARTIKEL BERKAITAN: Permohonan Najib panggil pakar periksa dokumen didengar 7 Januari

Najib: Anak perempuan saya yang mengadu.

Sithambaram: Jadi anda telah keluarkan cerita ini dalam siaran akhbar.. (tetapi) itu bukan coklat anda?

Najib: Bukan saya punya.

Sithambaram: Sukar untuk percaya bahawa perdana menteri dan menteri kewangan agak tidak jelas tentang akaun kewangannya?

Najib: Anda boleh tanya setiausaha peribadi saya yang menguruskan akaun peribadi saya.

Perbicaraan bersambung 6 Januari tahun hadapan.

Bekas Perdana Menteri itu, berdepan enam pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan kes pemindahan RM42 juta ke akaunnya daripada SRC International, bekas unit 1Malaysia Development Berhad (1MDB)

Najib juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).