PGSMNS sokong kerajaan NS kekal had umur perkahwinan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Persatuan Peguam Syarie Negeri Sembilan (PGSMNS) menyokong pendirian kerajaan Negeri Sembilan mengekalkan enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bawah umur yang dilaksanakan di negeri itu.

Pengerusinya, Datuk Hanif Hassan berkata, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003 yang memperuntukkan had umur berkahwin 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan adalah memadai.

Katanya, menaikkan had umur berkahwin dilihat tidak menyelesaikan masalah sosial secara keseluruhan sebaliknya berkemungkinan akan mengundang lebih banyak masalah termasuk kes pembuangan bayi.

“Segala aspek diambil kira, bukan hanya dari segi syarak tetapi turut merangkumi keadaan kesihatan, latar belakang kanak-kanak, pendapatan, kedudukan sosial, kemampuan dan pendidikan. Ia bertujuan memastikan kanak-kanak tersebut tidak ditimpa mudarat jika berkahwin.

"Tidak semua permohonan dibenarkan kerana ada juga yang ditolak oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 25 November lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dilapor berkata, kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak meminda enakmen berkaitan penetapan had umur minimum perkahwinan bawah umur yang telah diamalkan selama ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kekal had umur berkahwin

Pada 19 November lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, terdapat tujuh negeri yang tidak bersetuju untuk meminda had minimum umur perkahwinan kepada 18 tahun iaitu Sarawak, Pahang, Terengganu, Perlis, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Wan Azizah berkata, setakat ini lima negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Johor, Melaka dan Perak telah bersetuju meminda enakmen atau ordinan berkaitan had minimum perkahwinan manakala Selangor telah meminda enakmen dan Wilayah Persekutuan sedang dalam proses pindaan.

Hanif berkata, kes perkahwinan bawah umur membabitkan pelajar sekolah di negeri ini bagaimanapun merupakan kes terpencil.

“Mengikut sumber yang diperoleh daripada pihak mahkamah, pemohon yang memohon untuk berkahwin ini rata-rata adalah daripada kalangan yang tidak lagi bersekolah,” katanya. - Bernama