Timbalan Pengarah MCMC tak mengaku terima rasuah RM87,000

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM87,000 berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) pada 2015 dan Januari lepas.

Mohd Iskandar King, 42, yang merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E Dagang MCMC, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Iskandar didakwa secara rasuah menerima suatu suapan wang tunai RM50,000 daripada Pengarah Syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn Bhd dan pakar runding bagi Syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd, Mohd Azuzi Mohamed Kamil.

Ia sebagai upah untuk tertuduh yang bertugas sebagai Timbalan Pengarah MCMC, kononnya sebagai balasan telah membantu mendapatkan projek Universal Service Provider (USP) Time 3 Extension Phase 1 daripada suruhanjaya itu bagi syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd.

Bapa kepada sepasang kembar itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah restoran di IOI City Mall Putrajaya pada 8 malam, 9 Januari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Iskandar didakwa menerima dua cek masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor dan atas namanya sendiri daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia tuduh melakukan perbuatan itu di Bukit Jalil Golf and Country Resort pada 5 petang, 23 Jun 2015.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga berdepan dengan satu pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM50,000 daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui bahawa Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya dan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di IOI City Mall Putrajaya pada 8 malam, 9 Januari lepas.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan pilihan, Mohd Iskandar didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam R Sivahnanthan memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah atas alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik dengan SPRM dan dia penanggung utama keluarga.

“Tertuduh menanggung isteri serta dua anak (kembar) berusia 6 tahun, tertuduh juga menghidap penyakit bronkitis. Mohon jaminan rendah tanpa mewajibkan tertuduh untuk menyerahkan pasport ke mahkamah,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai serta menetapkan sebutan semula kes pada 16 Januari depan. - Bernama